PETALING JAYA: Malaysia mengharapkan Thailand dan Kemboja berundur buat sementara waktu bagi membolehkan rundingan dimulakan demi keamanan rantau ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau telah menyampaikan mesej kepada pemimpin kedua-dua negara itu dan berharap dapat berbincang secara langsung dalam masa terdekat.
Beliau berkata, Malaysia akan terus menyampaikan pandangan kepada kedua-dua Perdana Menteri terlibat.
“Kami telah menghantar mesej kepada kedua-dua pemimpin dan saya berharap malam ini saya dapat bercakap dengan mereka berdua,” katanya ketika ditanya mengenai perkembangan itu selepas Sidang Kemuncak ASEAN Semikonduktor 2025 (ASEMIS) di sini, hari ini.
Sebelum ini media melaporkan, ketegangan antara Bangkok dan Phom Penh kembali memuncak selepas tentera Thailand melancarkan serangan udara ke atas sasaran askar Kemboja pada Khamis.
Insiden pertempuran terbaharu itu tercetus selepas Phnom Penh didakwa menembak roket dan artileri hingga meragut nyawa orang awam selain beberapa termasuk kanak-kanak dilaporkan cedera.
Dalam pada itu, menyentuh mengenai adakah konflik itu memberi kesan terhadap perdagangan di ASEAN, beliau berkata, masih terlalu awal untuk menjangkakan kesan langsung daripada konflik itu.
“Ini kerana pada pandangan saya, ini hanyalah sementara. Kedua-dua pihak jelas mengutamakan kepentingan negara masing-masing.
“Mereka juga mahu penyelesaian secara aman dan bersungguh-sungguh mahu meredakan konflik. Paling penting, kedua-duanya mahu ASEAN kekal terlibat dan kami akan pastikan ia terus begitu,” ujarnya. – UTUSAN











