PETALING JAYA: Malaysia mengalukan minat syarikat India untuk melabur dalam sektor masa hadapan negara ini seperti ekonomi digital, kecerdasan buatan (AI), tenaga boleh baharu dan industri aeroangkasa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau dan rakan sejawatnya, Narendra Modi meneliti potensi besar untuk memperluas kerjasama strategik Malaysia dan India dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, pelaburan, teknologi digital dan pertahanan dalam satu pertemuan ketika Sidang Kemuncak BRICS Ke-17 di Brazil.
“Kami juga komited untuk terus memperkukuh hubungan antara rakyat melalui kerjasama dalam bidang kebudayaan, pelancongan dan pendidikan termasuk cadangan penubuhan kampus Institut Teknologi India (IIT) di Malaysia,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.
Anwar berkata, beliau dan Modi turut menegaskan pentingnya memastikan keamanan dan kestabilan serantau serta menyuarakan sokongan terhadap penyelesaian adil dan aman bagi isu-isu antarabangsa seperti Palestin dan Jammu-Kashmir.
“Malaysia menyambut baik usaha memperkukuh hubungan ASEAN dan India menjelang Sidang Kemuncak ASEAN-India pada Oktober ini, selaras dengan semangat kerjasama yang saling menguntungkan.
“Semoga hubungan erat Malaysia dan India terus berkembang demi manfaat dan kesejahteraan bersama rakyat kedua-dua negara,” katanya. – UTUSAN