Suri rumah ditahan dipercayai dera anak angkat

Suri rumah ditahan dipercayai dera anak angkat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JELEBU: Seorang suri rumah ditahan selepas disyaki mendera anak angkatnya berusia 13 tahun dalam kejadian di sebuah kampung di Kuala Klawang, di sini, bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Jelebu, Superintenden Azizan Said berkata, kejadian berkenaan hanya diketahui selepas pihaknya menerima daripada seorang pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melalui Talian Kasih berhubung insiden penderaan yang berlaku.

Menurutnya, mangsa yang merupakan pelajar lelaki tingkatan satu di sebuah sekolah menengah di daerah ini telah beberapa kali dipukul oleh ibu angkatnya berusia 35 tahun sejak tahun 2024.

“Penderaan dipercayai bermula apabila mangsa lambat atau lupa melaksanakan arahan. Mangsa mengadu sering dimaki, dijerit dan dipukul menggunakan objek seperti penyangkut baju dan batang besi vakum.

“Kejadian terbaharu berlaku pada 14 Jun lalu ketika mangsa sedang bersiap untuk menghadiri hari sukan di sekolah, sebelum suspek tiba-tiba memukulnya menggunakan batang besi vakum.

“Ia menyebabkan mangsa mengalami kesan lebam di beberapa bahagian badan termasuk siku, pergelangan tangan dan punggung,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Ujar Azizan lagi, mangsa yang diselamatkan oleh JKM telah dibawa ke Hospital Jelebu untuk pemeriksaan lanjut.

Menurutnya, laporan perubatan mengesahkan kecederaan mangsa disebabkan objek tumpul berbentuk rod dan dipercayai berlaku dalam tempoh tiga hari sebelum pemeriksaan dilakukan.

“Difahamkan, mangsa merupakan anak angkat dijaga suspek sejak berusia enam tahun dan dikategorikan sebagai OKU (ADHD). Suspek turut mempunyai dua anak kandung masing-masing berusia lima tahun dan tujuh bulan,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan polis masih menunggu laporan perubatan penuh serta siasatan lanjut bagi menentukan punca kecederaan sama ada akibat penderaan atau disebabkan tingkah laku hiperaktif mangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN