UMNO diminta bawa isu Titah Adendum ke pertimbangan Agong

UMNO diminta bawa isu Titah Adendum ke pertimbangan Agong

MOHD NAZIFUDDIN Najib (tengah) ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Bukit Gelugor, di George Town, Pulau Pinang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: UMNO diminta memainkan peranan lebih aktif membawa isu keadilan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak ke perhatian Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim khususnya berhubung pelaksanaan Titah Addendum.

Exco Pemuda UMNO, Datuk Mohd Nazifuddin Najib berkata, jika benar wujud kecuaian dalam melaksanakan titah Tuanku sebelum ini, maka, ia merupakan satu pelanggaran besar terhadap Perlembagaan dan prinsip keadilan.

“Kita juga berharap supaya parti akan membawa isu ini untuk perhatian Tuanku Agong agar dapat dipertimbangkan satu pengampunan terhadap Najib.

“Tetapi, sudah tentu perkara ini tertakluk kepada budi bicara Tuanku dan kepimpinan tertinggi parti juga,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Bukit Gelugor di sini, hari ini.

Sebelum ini, Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar semasa prosiding rayuan Peguam Negara terhadap keputusan Mahkamah Rayuan berkata, Najib tidak menjalankan usaha wajar dalam memastikan kewujudan Titah Adendum.

Mengulas lanjut, Mohd Nazifuddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Langkawi berkata, sudah tiba masanya kepimpinan parti memainkan peranan lebih aktif dalam mencari jalan penyelesaian terhadap apa yang disifatkan sebagai ketidakadilan terhadap Najib.

Katanya, isu tersebut juga tidak seharusnya dilihat sebagai isu peribadi tetapi melibatkan prinsip keadilan serta penghormatan terhadap institusi negara dan seorang bekas pemimpin yang pernah menerajui Malaysia.

“Kalau betul mereka silap dan tidak melaksanakan titah Tuanku, Najib pula sudah sembilan bulan dikurung tanpa titah itu dilaksanakan. Itu bukan sahaja kesalahan besar tetapi melanggar Perlembagaan serta menafikan keadilan kepada beliau,” katanya.

Tambahnya, ahli-ahli UMNO di pelbagai peringkat juga sudah mula bersuara dan kini tiba masa untuk pucuk pimpinan mengambil langkah seterusnya dengan bijak dan berhati-hati.

“Saya percaya sudah banyak usul disuarakan, termasuk dalam mesyuarat bahagian. Cara pelaksanaan itu kita serah kepada pucuk kepimpinan sebab mereka ada strategi masing-masing,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, pembebasan Najib sebelum pilihan raya umum akan datang boleh memberi impak besar terhadap kekuatan dan peluang UMNO untuk kembali bangkit.

“Kalau pembebasan itu berlaku, ia akan beri semangat baharu kepada ahli dan penyokong parti. Tapi bagaimana ia akan berlaku sama ada melalui undang-undang atau saluran lain? Itu terpulang kepada strategi parti,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN