PETALING JAYA: Malaysia berhak menolak pencalonan Nick Adams sebagai Duta Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia berdasarkan Perkara 4 Konvensyen Vienna Mengenai Hubungan Diplomatik yang memberi kuasa penuh kepada negara penerima untuk menolak mana-mana calon duta tanpa perlu memberikan sebarang alasan rasmi.
Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohd. Izzat Afifi Abdul Hamid berkata, kerajaan perlu menolak pencalonan Adams, susulan kenyataan-kenyataan lantangnya yang bersifat provokatif, memecah-belahkan dan tidak sejajar dengan nilai kemanusiaan sejagat.
Katanya, Adams secara terang-terangan menyokong tindakan kekerasan terhadap rakyat Palestin, selain mengeluarkan kenyataan memperlekehkan perjuangan hak asasi manusia serta menyamakan solidariti kemanusiaan dengan ekstremisme.
“Pandangan beliau bukan sahaja tidak dapat diterima daripada segi moral, malah berisiko menormalisasikan keganasan terhadap orang awam serta melemahkan prinsip keadilan, keamanan dan kemanusiaan yang dikongsi bersama oleh masyarakat antarabangsa.
“Retorik sebegini, jika dibawa masuk dalam kerangka hubungan diplomatik, boleh menjejaskan kepercayaan bersama dan sokongan rakyat, dua perkara yang menjadi teras kepada kerjasama antarabangsa yang mapan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Adams yang merupakan penulis dan pempengaruh sebelum ini dicalonkan oleh Presiden AS, Donald Trump untuk menggantikan Edgard Kagan sebagai Duta AS ke Malaysia.
Mohd. Izzat Afifi menyeru seluruh pertubuhan belia, badan mahasiswa dan masyarakat sivil agar kekal berwaspada dan bersatu mempertahankan prinsip keamanan, keadilan dan kedaulatan.
“Ini bukan soal ideologi, tetapi tindakan mempertahankan maruah dan integriti diplomatik negara agar hubungan dua hala dengan AS tidak terjejas akibat pelantikan yang tidak sensitif terhadap nilai dan dasar luar Malaysia.
“Golongan belia akan terus berdiri teguh menyokong nilai-nilai keamanan, maruah dan keadilan, bukan sahaja dalam negara, bahkan dalam hubungan antarabangsa yang mencerminkan jati diri bangsa,” katanya. – UTUSAN










