Majlis Peguam gesa kerajaan selesai segera empat tuntutan memorandum

Majlis Peguam gesa kerajaan selesai segera empat tuntutan memorandum

AHLI-ahli Badan Peguam Malaysia memulakan Perarakan Membela Kebebasan Kehakiman dari Istana Kehakiman menuju ke Pejabat Perdana Menteri, di Putrajaya..- UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Majlis Peguam Malaysia menggesa kerajaan menyelesaikan segera empat tuntutan dalam memorandum yang diserahkan hari ini termasuk mengisi kekosongan jawatan tertinggi kehakiman. 

Presiden Majlis Peguam, Mohamad Ezri Abdul Wahab berkata, bagaimanapun mereka tidak menetapkan sebarang garis masa terhadap kerajaan mengenai perkara tersebut. 

“Tujuan perarakan ini untuk menyokong kebebasan badan kehakiman. Kami ingin semua pihak mengiktiraf bahawa kebebasan badan kehakiman itu penting dan merupakan prasyarat kepada sistem demokrasi yang baik.

“Kami telah melihat banyak kenyataan media dan perbincangan di media sosial yang boleh menjejaskan kebebasan badan kehakiman. Kami mahu perkara ini diselesaikan. Kami meminta kerajaan untuk menyelesaikannya secepat mungkin,” katanya kepada pemberita di luar pekarangan Pejabat Perdana Menteri, di sini hari ini. 

Terdahulu Mohamad Ezri menyerahkan memorandum berkenaan kepada Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Datuk Zamri Misman selepas beliau selesai berarak sejauh 2.6 kilometer bersama para peguam bermula dari Istana Kehakiman menuju ke Pejabat Perdana Menteri. 

Antara yang turut kelihatan ialah Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar; bekas Speaker Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim; bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas; peguam, Haniff Khatri Abdullah dan bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk Ambiga Sreenevasan. 

MOHAMAD Ezri Abdul Wahab (tiga dari kiri) menunjukkan memorandum untuk diserahkan kepada Perdana Menteri berhubung Kebebasan Kehakiman di Putrajaya. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA

Mohamad Ezri berkata, berdasarkan semakan yang dibuat oleh pasukan sekretariat, hampir 1,600 peserta menyertai perarakan yang dianjurkan oleh Majlis Peguam Malaysia itu. 

Jelasnya, perarakan itu turut mendapat kerjasama yang baik daripada pasukan sekretariat dan peserta termasuk pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menjalankan tugasan kawalan. 

Tambah Mohamad Ezri lagi, Majlis Peguam juga tidak berhasrat untuk menganjurkan perarakan lain sekiranya tuntutan di dalam memorandum berkenaan masih tidak dipenuhi. 

“Tidak. Ini sahaja. Ia hanya lah satu peringatan kepada pihak kerajaan. Jika tidak, maka tindakan-tindakan lain akan menyusul,” katanya. 

Empat tuntutan yang dikemukakan dalam memorandum itu iaitu menyeru agar jawatan kepimpinan kehakiman diisi dengan segera oleh hakim-hakim yang mempunyai perwatakan yang tidak tercemar, integriti, reputasi yang bersih.

Pengalaman kehakiman serta kepintaran yang diukur dan didemonstrasikan melalui rekod pembuatan keputusan dan penghakiman bertulis yang berkualiti, konsisten dan jelas, serta dihormati oleh para hakim lain dalam Badan Kehakiman, para peguam, dan rakyat Malaysia. 

Selain itu, Majlis Peguam mengulangi gesaan supaya minit mesyuarat JAC rasmi yang berkaitan diberikan kepada mereka tanpa berlengah lagi.

Mereka turut mendesak agar siasatan segera dijalankan berhubung sama ada wujud campur tangan dalam urusan kehakiman, dan/atau mengesahkan apa yang dikatakan minit mesyuarat JAC yang diedarkan dalam media sosial. 

Majlis Peguam turut memperbaharui gesaan mereka agar sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan bagi menyiasat sama ada wujud sebarang campur tangan dalam Badan Kehakiman dan menyeru agar kekosongan-kekosongan jawatan dalam Badan Kehakiman diisi dengan kadar segera. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN