BARCELONA: Seorang bekas mekanik berusia 82 tahun, Juan Lopez Garcia merupakan pemegang rekod dunia kejohanan maraton sejauh lebih 42 kilometer (km) dan menjadi kajian saintifik baharu.
Kajian itu cuba merungkai bagaimana beliau mampu mengekalkan tahap kecergasan yang begitu luar biasa pada usia emas.
Sekumpulan saintis Eropah telah menjalankan pelbagai ujian fizikal ke atas warga emas itu dan mendapati prestasi luar biasanya dipengaruhi oleh tiga faktor utama.
Pertama, kadar Pengambilan Oksigen Maksimum (VO₂) adalah yang tertinggi pernah direkodkan bagi individu dalam kumpulan usia 80-an.
Secara purata, kadar VO₂ manusia akan menurun sebanyak 10 peratus bagi setiap dekad selepas berusia 30 tahun.
Namun, bagi Garcia, kadar tersebut meningkat sejak beliau mula berlatih sehingga mencatatkan angka yang pada kebiasaannya hanya ditemui pada lelaki sihat berusia 20-an.
Selain itu, ujian klinikal mendedahkan bahawa ototnya mampu menyerap dan menggunakan peratusan oksigen yang sangat tinggi daripada darahnya.
Keadaan itu menyebabkan Garcia mendapat tenaga untuk berlari dalam tempoh lama pada rentak yang stabil.
Tahap daya tahan seperti itu adalah sangat kritikal bagi pelari maraton jarak jauh yang bersaing dalam perlumbaan mencecah jarak 160km atau lebih.
Kelebihan itu terbukti apabila beliau kini memegang rekod dunia bagi kategori umur 80 hingga 84 tahun untuk acara maraton sejauh 50km.
Pada 2024, Garcia turut menjuarai kejohanan maraton dunia bagi kategori umurnya dengan catatan masa 3 jam 39 minit 10 saat, sehingga mencipta rekod baharu Eropah.
Penyelidik mendapati kadar pembakaran lemak beliau adalah sebanyak 0.55 gram seminit, iaitu satu angka yang setaraf dengan atlet muda yang cergas. – AGENSI










