PASIR SALAK: Majlis Benih Negara yang ditubuhkan bagi merancang dan menyelaras pembangunan industri benih negara akan dilancarkan dalam masa terdekat.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, badan penyelaras bagi mengawal selia industri benih itu kini berada dalam peringkat penelitian akhir sebelum dilancarkan secara rasmi.
“Isu benih adalah perkara penting kerana kita tidak mahu benih ini nanti akan dimonopoli oleh syarikat atau negara tertentu.
“Biarlah benih ini diuruskan dengan cara yang tertib di mana kita ada Majlis Benih Negara yang berperanan mengurus dan mengawal semua jenis benih sama ada tumbuhan dan ternakan di negara ini secara tersusun,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Pengisytiharan Varieti Padi Clearfield MR CL3 dan MR CL4 di Pusat Benih Padi Felcra Berhad, Seberang Perak di Kampung Gajah, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Mohd. Zolkafly Harun; Pengerusi Lembaga Pengelola Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Dr Azman Ismail dan Ketua Pengarah MARDI, Datuk Mohamad Zabawi Abdul Ghani.
Menurut beliau, antara fungsi majlis tersebut ialah sebagai pusat penyimpanan utama bagi menyimpan data pelbagai jenis benih yang ada di dalam negara.
“Sekiranya berlaku sebarang kemungkinan, kita masih mempunyai simpanan dan data lengkap benih yang boleh digunakan untuk penghasilan semula benih pada masa hadapan,” katanya.
Sementara itu mengulas mengenai permintaan kerajaan negeri Perak supaya kuota bekalan beras kepada pengilang khususnya pengilang Bumiputera ditambah, beliau berkata, kuota itu akan ditambah bergantung kepada keupayaan pengilang.
“Kita tidak boleh bergantung kepada soal kuota semata-mata, sebaliknya lihat juga kepada keupayaan. Kalau pengilang Bumiputera ada keupayaan, kita akan berusaha membantu. Kalau tiada keupayaan langsung, itu memang agak sukar,” katanya.
Sebelum ini, Mohd. Zolkafly dilaporkan berkata, beliau akan memohon KPKM supaya pengilang di negeri ini yang layak, diberikan pertimbangan untuk penambahan kuota hingga 500 tan metrik sebulan.
Beliau berkata, langkah itu penting bagi memastikan pengilang besar dan kecil dapat bekerjasama dalam memulihkan industri beras serta menjamin bekalannya sentiasa stabil dan mencukupi. – UTUSAN