ARAU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berhasrat menubuhkan sebuah Pusat Sehenti Khidmat Usahawan Asnaf sebagai usaha melestarikan kluster pembangunan ekonomi dalam kalangan asnaf.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Nazim Mohd Noor berkata, pelaksanaan inisiatif yang dirancang itu juga adalah sejajar dengan aspirasi Pelan Agihan Holistik MAIPs.
Menurutnya, pendekatan berkenaan bakal dilaksanakan menerusi program Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) dengan mengambil inspirasi daripada Konsep Norrsken House Kigali.
“Pelaksanaan ini akan memanfaatkan ruang dan aset sedia ada milik MAIPs dan disesuaikan mengikut model terbaik yang telah terbukti berkesan,” katanya semasa lawatan Safar Ilmi MAIPs 2025 ke Norrsken House Kigali, Rwanda, baru-baru ini.
Lawatan itu diketuai oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang berkenan meneliti sendiri suasana dan pengurusan fasiliti di sana.
Berangkat sama mengiringi baginda berdua adalah Warisnya Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Norrsken House Kigali merupakan sebuah pusat keusahawanan berimpak tinggi yang kini menjadi antara ekosistem paling aktif di Afrika dan pusat kerja bersama (co-working space) yang beroperasi 24 jam dengan kini menempatkan lebih 350 syarikat serta kira-kira 1,600 usahawan bersama pekerja profesional.
Pusat ini menyediakan pelbagai kemudahan termasuk ruang kerja fleksibel, bilik mesyuarat persendirian, auditorium minimalis, ruang serbaguna untuk acara dan sistem sokongan keusahawanan melibatkan penasihat undang-undang, akauntan, pelabur, juru pemasaran, penterjemah serta penasihat pembiayaan.
Model ini menampilkan pendekatan hibrid yang menggabungkan struktur yayasan dan entiti mampan melalui yuran, program komuniti dan pelaburan berimpak.
Dalam pada itu, Mohd. Nazim berkata, pendekatan sebegini adalah sangat relevan untuk diguna pakai dalam konteks Malaysia khususnya bagi memperkasakan golongan asnaf secara holistik melalui pendidikan, latihan teknikal, literasi digital, pengurusan perniagaan dan kebolehpasaran.-UTUSAN