Mahu bantu banduan, Aaron Aziz buat uji bakat untuk peluang pekerjaan - Utusan Malaysia

Mahu bantu banduan, Aaron Aziz buat uji bakat untuk peluang pekerjaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Inilah peluang anda untuk buktikan pada diri sendiri yang anda boleh.”

Demikian kata pelakon, Datuk Aaron Aziz yang menyeru seluruh bekas banduan dan pelajar Sekolah Henry Gurney untuk menghadiri sesi uji bakat lakonan di bawah produksi miliknya, Aaron Aziz Production.

Menerusi sebuah hantaran di Instagram, Aaron turut memaklumkan hasratnya untuk menyelamatkan masa depan mereka yang selama ini dihantui dengan kritikan orang luar kerana kesalahan lampau yang pernah dilakukan sebelum ini.

“Anda seorang bekas banduan? Pernah duduk penjara, pernah duduk Sekolah Henry Gurney? Orang cakap kalian tiada masa depan?

“Ada juga yang cakap anda hancur masa depan? Tak boleh masuk dalam kalangan masyarakat yang baik?

“Pastikan jawapan anda adalah tidak. Saya akan tolong anda, macam mana? Sila datang uji bakat untuk projek terbaharu saya,” katanya.

Menerusi hantaran tersebut, pelakon filem Sheriff: Narko Integriti itu turut melampirkan poster yang memaparkan butiran mengenai uji bakat yang bakal dianjurkan di Star Avenue Lifestyle Mall, Shah Alam, pada 5 Julai ini.

Uji bakat tersebut terbuka kepada lelaki yang berusia 16 hingga 50 tahun daripada pelbagai bangsa dan latar belakang.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN