Beberapa tahun kebelakangan ini, industri hiburan Bollywood digemparkan dengan siri ancaman yang menggerunkan terhadap beberapa bintang ternamanya.
Antara selebriti yang menjadi sasaran termasuk Salman Khan, Shah Rukh Khan, Kapil Sharma dan lain-lain.
Ancaman yang diterima bukan sahaja melibatkan ugutan bunuh dan tuntutan wang perlindungan, malah ada juga insiden tembakan dan serangan fizikal.
Kes-kes ini sering dikaitkan dengan kumpulan jenayah terancang seperti geng Lawrence Bishnoi atau individu tidak dikenali yang sengaja mengeksploitasi isu-isu sensitif.
Berikut ialah senarai selebriti Bollywood yang menerima ancaman kebelakangan ini:
Salman Khan
Pelakon terkenal, Salman Khan telah beberapa kali menjadi sasaran ugutan bunuh, terutamanya yang dikaitkan dengan geng Lawrence Bishnoi.
Geng ini dipercayai menyimpan dendam berikutan kes pemburuan haram rusa (Blackbuck) pada tahun 1998, yang dianggap menghina komuniti Bishnoi.
Pada April 2024, dua individu melepaskan tembakan di hadapan kediamannya di Galaxy Apartments, Bandra.
Selepas itu, Salman menerima beberapa ugutan lain termasuk tuntutan wang perlindungan antaranya mesej WhatsApp pada Oktober 2024 yang menuntut Rs 5 crore (RM2.8 juta) dihantar kepada Polis Trafik Mumbai, dan satu lagi pada November 2024 menuntut Rs 2 crore (RM1.1 juta)
Terkini, menurut laman web The Indian Express, Salman menerima satu lagi ugutan bunuh menerusi mesej WhatsApp yang dihantar ke nombor rasmi jabatan trafik polis Mumbai di Worli.
Mesej tersebut diterima sekitar jam 6:30 pagi pada 13 April 2025, di mana pengirim tidak dikenali mengancam akan menceroboh kediamannya dan membunuhnya.
Shah Rukh Khan
Pada November 2024, Shah Rukh Khan turut menerima ancaman bunuh melalui satu panggilan telefon ke Balai Polis Bandra.
Pemanggil menuntut wang perlindungan sebanyak Rs 50 lakh (RM280,000). Siasatan mendapati panggilan tersebut adalah dari Raipur, Chhattisgarh dan dikaitkan dengan seorang peguam bernama Mohammad Faizan Khan, yang mendakwa telefonnya telah dicuri.
Selain itu, Shah Rukh pernah berdepan ancaman selepas kejayaan filem Pathaan dan Jawan pada tahun 2023, yang membawa kepada peningkatan tahap keselamatannya.
Kapil Sharma
Pelawak dan pengacara popular, Kapil Sharma menerima ugutan bunuh melalui e-mel pada Januari 2025.
E-mel tersebut dihantar oleh individu yang menamakan dirinya Vishnu selain mendakwa sedang memantau pergerakan Kapil dan mengeluarkan ancaman jika pelawak itu tidak mematuhi tuntutan dalam tempoh lapan jam.
Menurut laporan laman Indiaforums, Kapil segera membuat laporan polis dan satu siasatan telah dijalankan, termasuk membuka laporan polis (FIR) terhadap suspek yang tidak dikenali.
Individu yang menggunakan nama ‘Vishnu’ itu juga dilaporkan menghantar e-mel ugutan serupa kepada pelakon Rajpal Yadav dan pengarah koreografi Remo D’Souza.
Deepika Padukone
Pelakon wanita tersohor, Deepika Padukone, pernah menerima ugutan bunuh secara terbuka susulan penglibatannya dalam filem epik Padmaavat (2018).
Beberapa kumpulan ekstremis menganggap watak Ratu Padmavati lakonannya mencemarkan sejarah dan maruah komuniti Rajput.
Malah, seorang pemimpin politik tempatan pernah menawarkan ganjaran lumayan kepada sesiapa yang sanggup ‘memenggal kepala’ Deepika.
Insiden itu mencetuskan kemarahan global dan membuka perdebatan mengenai kebebasan berkarya di India.
Karan Johar
Pengarah dan penerbit terkemuka, Karan Johar, juga tidak terkecuali apabila studio miliknya, Dharma Productions, dikritik kerana menggaji artis dari Pakistan selepas ketegangan diplomatik antara India dan negara jiran itu.
Filem Ae Dil Hai Mushkil yang menampilkan pelakon Pakistan, Fawad Khan, menerima kecaman hebat, termasuk ugutan agar filem tersebut ditarik balik dari pawagam.
Johar akhirnya terpaksa membuat pengakuan terbuka dan berjanji untuk tidak bekerjasama lagi dengan artis luar negara dalam keadaan politik yang tegang.