Lima 'boy band' era 90-an yang masih bersinar - Utusan Malaysia

Lima ‘boy band’ era 90-an yang masih bersinar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Suatu ketika dahulu, beberapa kumpulan lelaki atau boy band pada era 90-an telah mencetuskan fenomena yang luar biasa dalam kalangan peminat di seluruh negara.

Bukan sekadar memiliki rupa paras yang tampan, bakat nyanyian mereka juga terus dikagumi ramai malah, lagu hits mereka masih tidak jemu didengar meskipun sudah berdekad lamanya. 

Biarpun ada saja pelapis baharu yang berjaya mewarnai persada seni secara global, kewujudan kumpulan lelaki pada era itu membuktikan bahawa muzik yang ikhlas dan berkualiti tidak akan lapuk dek zaman. 

Berikut merupakan lima ‘boy band’ era 90-an yang masih bersinar sehingga hari ini.

Backstreet Boys

Meskipun sudah lebih dua dekad mendominasi carta dan hati peminat, kumpulan lelaki legenda, Backstreet Boys, membuktikan kewujudan mereka dalam industri muzik bukan sekadar nostalgia.

Terkenal menerusi muzik bergenre pop, lagu-lagu hits kumpulan ini seperti I Want It That Way, Everybody dan As Long As You Love Me terus menjadi siulan pelbagai generasi sehingga kini.

Pada 2019, Backstreet Boys kembali mencetuskan fenomena selepas membuat kemunculan semula dengan melancarkan album DNA sekali gus berjaya menembusi tempat pertama Billboard 200.

Kejayaan itu juga secara tidak langsung mendorong kumpulan itu giat mengadakan konsert jelajah menerusi DNA World Tour di lebih 40 negara. 

NSYNC

Kemunculan semula kumpulan lagenda, NSYNC selepas lebih dua dekad menyepi pada September 2023, berjaya mengembalikan seri dalam persada muzik secara global.

Kumpulan yang dianggotai oleh Justin Timberlake, JC Chasez, Lance Bass, Chris Kirkpatrick, dan Joey Fatone itu juga tidak hadir dengan tangan kosong. Mereka turut melancarkan lagu yang berjudul Better Place yang juga runut bunyi filem Trolls Band Together.

Bayangkan kewujudan kumpulan itu juga berjaya meraih perhatian generasi kini selepas lagu hits mereka Bye Bye Bye mencetuskan fenomena luar biasa selepas menjadi runut bunyi filem aksi Deadpool and Woolverine 2024.

Westlife

Ditubuhkan pada 1998, kemunculan kumpulan lagenda, Westlife menerusi lagu-lagu hitsnya memberikan impak yang luar biasa terhadap industri muzik secara global.

Memulakan karier mereka secara berlima, Westlife pernah dianggotai oleh Shane Filan, Mark Feehily, Kian Egan, Nicky Byrne dan Brian McFadden. Namun, Brian telah mengambil keputusan untuk meninggalkan kumpulan pada 2004 kerana ingin fokus pada keluarga dan kerjaya solo.

Pun begitu, Westlife kembali aktif membuat beberapa siri konsert jelajah sejak 2019 sehingga 2023 selepas membuat kemunculan semula pada 2018 seperti The Twenty Tour dan The Wild Dreams Tour.

Blue

Kumpulan boy band Blue ialah kumpulan pop dan R&B dari United Kingdom yang dianggotai oleh Simon Webbe, Duncan James, Antony Costa dan Lee Ryan. 

Mereka mula dikenali dengan lagu-lagu seperti All Rise, One Love dan Guilty, kumpulan itu bagaimanapun telah memutuskan untuk berehat dari industri pada 2004.

Namun, mereka telah membuat kemunculan semula pada 2011 dan muncul menerusi album Heart & Soul pada Oktober 2022.

Kemudian, kumpulan itu mengadakan konsert jelajah yang bernama Heart & Soul Tour demi meraikan ulang tahun mereka ke-20 pada 2023.

Boyz II Men 

Baru sahaja mengadakan konsert jelajah di Malaysia pada Mei lalu, siapa sangka kumpulan lagenda Amerika Syarikat, Boyz II Men ini masih lagi memiliki tempat istimewa di hati peminat di seluruh dunia.

Terkenal dengan muzik bergenre R&B, lagu-lagu hits mereka seperti End Of The Road, One Sweet Day, I’ll Make Love To You dan A Song for Mama juga masih lagi diputarkan dicorong-corong radio sehingga kini. 

Meskipun sudah lebih 20 tahun dalam persada seni, lagu-lagu hits kumpulan ini masih mampu memukau generasi baharu dengan muzik R&B yang abadi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN