BESUT: Dipercayai terlibat dalam kejadian samun tiga peniaga makanan, seorang lelaki berusia 32 tahun ditahan polis Isnin lalu..
Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Azamuddin Ahmad @ Abu berkata, suspek ditahan di rumahnya di Kampung Gong Medangkira-kira pukul 4.45 petang selepas disyaki menyamun tiga peniaga wanita di daerah ini.
Katanya, suspek ditahan reman sejak 22 Julai lepas dan sepatutnya berakhir hari ini tetapi disambung bagi meneruskan siasatan lanjut.
“Modus operandi suspek adalah dengan memesan barang makanan daripada mangsa sebelum meminta membuat penghantaran melalui kaedah COD (tunai semasa penghantaran). Ketika sesi penghataran makanan dipesan suspek telah menghantar lokasi di sebuah rumah kosong berhampiran tepi hutan dan memakai penutup muka ketika menunggu kehadiran mangsa,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Besut, di sini, hari ini.
Katanya, suspek dipercayai menyiasat latar belakang mangsa melalui media sosial sebelum menjadikan peniaga makanan itu sebagai sasaran.
Azamuddin berkata, bagaimanapun suspek sebelum ini menjual barang kemas hasil samun itu kepada seorang lelaki berusia 27 tahun sebelum individu terbabit bertindak meleburkan barang kemas berkenaan.
“Jumlah kesemua kerugian yang didapati adalah membabitkan 83.26 gram emas dengan nilai pasaran RM 30,000 serta ang tunai RM 200. Antara barang kes yang dirampas dua ketulan emas yang dilebur, telefon bimbit, surat gadaian barang kemas serta sebuah kereta Honda City.
“Saringan ujian air kencing negatif dan suspek turut memiliki satu rekod jenayah lampau berkaitan kes samun. Kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan serta Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN










