PUTRAJAYA: Lebih 5,000 hadir pada program Malaysia Bermunajat 2025 yang berlangsung di Masjid Putra, di sini malam ini.
Program diserikan dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tiba kira-kira pukul 8.45 malam sebelum menunaikan solat Isyak berjemaah dan solat sunat hajat.
Pada program sama, Perdana Menteri turut berucap dan meluncurkan inisiatif Halaqah Ilmu Madani iaitu satu gagasan baharu yang bakal memacu pengembangan ilmu secara tersusun dan inklusif di seluruh negara.
Halaqah Ilmu Madani adalah cetusan oleh Perdana Menteri bagi memperkasakan ilmu dan Dakwah.
Seterusnya, Perdana Menteri turut menerima resolusi Muzakarah Umara’ dan Ulama’ Pondok Kebangsaan 2025 (UMRAN).
Terdahulu, program bermula pukul 6 petang menerusi Bicara Orang Muda Bersama Ustaz Azlan Shah Nabees Khan disusuli solat Maghrib berjemaah.
Solat Maghrib diimamkan oleh Imam Masjid Negeri Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Sheikh Abdul Karim Al-Makki sebelum sesi bayan bersama pendakwah bebas dan ulama tersohor dari Pakistan, Maulana Tariq Jamil.
Pengisian rohani oleh Maulana Tariq berkisar hikmah tentang hubungan hati dengan Allah S.W.T dan tanggungjawab umat Islam terhadap masyarakat sekeliling. – UTUSAN