SYDNEY: Negara kepulauan kecil di Pasifik, Palau bersetuju untuk menerima sehingga 75 pendatang asing yang diusir dari Amerika Syarikat (AS) di bawah satu perjanjian bernilai AS$7.5 juta (RM30.33 juta), menurut kenyataan kedua-dua negara.
Presiden AS, Donald Trump yang berkempen dengan janji untuk mengusir migran tanpa dokumen, mempercepatkan proses pengusiran dan mengetatkan kawalan sempadan sejak kembali memegang kuasa tahun ini.
Di bawah memorandum persefahaman baharu itu, Palau akan membenarkan sehingga 75 warga negara ketiga dari AS tinggal dan bekerja di kepulauan yang jarang dihuni itu, kata pegawai pada Rabu.
Sebagai pertukaran, AS akan memberi AS$7.5 juta (RM30.33 juta) kepada Palau untuk keperluan perkhidmatan awam dan infrastruktur.
Dengan kira-kira 20,000 penduduk yang tersebar di ratusan pulau gunung berapi dan pulau karang, Palau merupakan antara negara dengan populasi terkecil di dunia.
“Pendatang asing dari AS ini tidak didakwa melakukan sebarang jenayah dan akan membantu mengisi kekosongan pekerjaan yang diperlukan di Palau.
“Palau akan menentukan secara kes demi kes mengenai individu yang akan tiba di Palau di bawah perjanjian ini,” menurut kenyataan negara Pasifik itu.
Perjanjian itu diumumkan selepas satu panggilan antara Presiden Palau, Surangel Whipps dan Timbalan Setiausaha Negara AS, Christopher Landau.
“Melalui kerjasama ini, AS dan Palau mengambil langkah konkrit untuk memperkukuh keselamatan dan melindungi komuniti kami, sambil memupuk Indo-Pasifik yang lebih selamat, stabil dan makmur,” kata Jabatan Negara AS dalam kenyataan berasingan.
Semasa panggilan itu, Landau berkata, AS komited untuk membina sebuah hospital baharu dan meningkatkan kapasiti Palau dalam menangani bencana nasional.
Washington juga akan menyediakan tambahan dana AS$6 juta (RM24.27 juta) untuk reformasi bagi mencegah keruntuhan pelan pencen perkhidmatan awam Palau, dan menambah AS$2 juta (RM8.08 juta) untuk inisiatif penguatkuasaan undang-undang.
Kepulauan Palau yang terdiri daripada pulau-pulau batu kapur dan terumb karang terletak kira-kira 800 kilometer di timur Filipina.
Sejak memegang kuasa pada 2020, Whipps mengawasi pengembangan kepentingan ketenteraan AS, termasuk pembinaan pos radar jarak jauh yang penting sebagai sistem amaran awal ketika China meningkatkan aktiviti ketenteraan di Selat Taiwan.
Palau merdeka pada 1994 tetapi membenarkan tentera AS menggunakan wilayahnya di bawah perjanjian Perjanjian Persahabatan dan Perkongsian Bebas yang lama.
Sebagai balasan, AS memberikan ratusan juta dolar untuk sokongan bajet dan mengambil tanggungjawab terhadap pertahanan negara itu.-AFP











