Langkah strategik stabil harga getah bantu pekebun kecil

Langkah strategik stabil harga getah bantu pekebun kecil

JOHARI GHANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan me­laksanakan beberapa langkah strategik bagi memastikan industri getah negara tidak terbeban terutama dalam menghadapi isu ketidakstabilan harga komoditi itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, antara langkah tersebut adalah menerusi Insentif Pengeluaran Getah (IPG) bagi menjamin kebajikan pekebun kecil dan memastikan mereka memperoleh pendapatan wajar apabila harga getah jatuh di bawah Paras Harga Peng­aktifan (PHP).

Beliau berkata, PHP IPG sudah dinaikkan kepada RM3 sekilogram bermula tahun lalu dan ia memberi manfaat kepada seramai 239,053 pekebun kecil dengan pembayaran berjumlah RM523.4 juta sejak pelaksa­naannya dari September 2015 sehingga 30 Jun lalu.

Selain itu, katanya, Lembaga Getah (LGM) turut sudah membangunkan Projek Rintis Model Baharu Insentif Penge­luaran Lateks (IPL +) di Kedah dan Perak yang bertujuan mengga­lakkan pekebun kecil beralih kepada pengeluaran getah dalam bentuk lateks yang memberi pulangan yang lebih tinggi berbanding getah beku.

“Skop pelaksanaan projek ini, antaranya adalah meka­nisme pembelian secara terus hasil lateks pekebun kecil oleh kilang pemprosesan tanpa orang te­ngah (peniaga), pemberian insentif tunai, insentif penyertaan, insentif galakan dan insentif produktiviti.

“Inisiatif ini juga adalah langkah awal bagi mengurangkan kebergantungan kepada lateks import, selain sebanyak 221 tan lateks berjaya dihasilkan melalui Projek IPL+, sehingga Jun lalu.

“Jumlah ini dijangka terus meningkat dengan peluasan program ke tiga lagi lokasi tambahan yang sedang dijalankan pada tahun ini, iaitu di Negeri Sembilan, Pahang dan Sela­ngor,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiar di laman web Parlimen Malaysia, semalam.

Johari berkata demikian menjawab soalan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) me­ngenai langkah strategik bagi memastikan harga getah kekal stabil dan tidak merosot hingga menjejaskan pendapatan pekebun kecil.

Johari berkata, selain daripada program dan langkah yang dilaksanakan itu, kerajaan turut mewujudkan Program Konsolidasi Getah Terbiar bagi mening­katkan produktiviti pekebun kecil melalui pengurusan kebun terbiar secara berkluster.

Katanya, program itu membuka peluang kepada syarikat swasta, koperasi dan pengusaha individu untuk mengurus kawasan terbiar secara komersial, selain mewujudkan peluang pekerjaan tetap dengan pendapatan lebih stabil kepada masyarakat setempat sebagai penoreh.

“LGM bersama FELDA sudah mengenal pasti lebih 1,000 hektar kebun getah terbiar untuk diusahakan di bawah program ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN