Kos meningkat, paip usang lebih 40 tahun punca Melaka semak tarif air 

Kos meningkat, paip usang lebih 40 tahun punca Melaka semak tarif air 

HAMEED MYTHEEN KUNJU BASHEER 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Permohonan semakan semula tarif air oleh Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) bertujuan menampung peningkatan kos penyelenggaraan paip dan pembinaan loji rawatan air (LRA) baharu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, SAMB menanggung kos pembaikan dan penyelenggaraan berjumlah RM15 juta pada 2022, meningkat RM25 juta (2023) dan RM34 juta (2024).

Beliau berkata, kos pembaikan itu bertujuan menyediakan bekalan air yang sistematik dan cekap bagi memenuhi permintaan industri dan masyarakat.

“Kenaikan ini bukan sahaja di Melaka tetapi semakan turut dibuat beberapa negeri lain seperti Terengganu, Kedah dan Perlis. Kos ini membabitkan penukaran paip usang yang berusia lebih 40 tahun, masalah tekanan air rendah, pembinaan LRA Jus dan Sungai Jernih serta kolam tadahan air baharu.

“Selain itu, kehilangan air tidak berhasil (NRW) di Melaka mencecah RM300,000 sehari dan boleh mencecah jutaan ringgit jika tidak dibaik pulih. Jangan lihat kenaikan tarif sahaja tetapi perlu mengambil kira kos ditanggung SAMB,” katanya ketika ucapan penangguhan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.

Terdahulu, Dr. Mohd. Yadzil Yaakub (PN-Bemban) semasa ucapan penangguhan membangkitkan tindakan SAMB mengemukakan permohonan semakan semula tarif air kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Mohd. Yadzil berkata, SAMB bergelut membayar hutang kepada kerajaan negeri sebanyak RM57.30 juta setakat 2023 dan hanya mampu membayar separuh daripada anuiti iaitu RM3 juta.

Hameed Mytheen berkata, SAMB tidak mempunyai tunggakan hutang dengan kerajaan negeri seperti didakwa Mohd. Yadzil.

Katanya, bayaran pinjaman oleh SAMB membabitkan lapan projek bekalan air dan infrastruktur adalah bagi tempoh 25 tahun.

“Tidak berlaku penangguhan hutang dengan kerajaan negeri. Pembayaran ansuran bulanan untuk air mentah terawat dibayar kepada Badan Kawal Selia Air (BKSA) adalah lebih dari tarikh sepatutnya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN