Konvoi Sumud Nusantara simbol solidariti untuk Gaza

Konvoi Sumud Nusantara simbol solidariti untuk Gaza

KONVOI Sumud Nusantara simbol solidariti rakyat Global Selatan menuntut penamatan sekatan ke atas Gaza.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Gabungan pertubuhan masyarakat sivil dan gerakan anak muda dari pelbagai negara melancarkan Konvoi Sumud Nusantara sebagai satu usaha bersama bagi mendesak penamatan sekatan ke atas Gaza serta penyampaian bantuan kemanusiaan yang berkesan.

Gerakan akar umbi tersebut menghimpunkan penyertaan dari Malaysia, Indonesia, Thailand, Pakistan, Bangladesh, Sri Lanka, Filipina dan Maldives sebagai tanda solidariti terhadap penderitaan rakyat Palestin yang berdepan kebuluran dan krisis kemanusiaan akibat sekatan berpanjangan.

Eksekutif Strategik (Perhubungan Awam) Global Peace Mission (GPM), Muhd. Haikal Luqman Zulkefli berkata konvoi itu bukan sekadar misi bantuan tetapi lambang kebangkitan moral rakyat Global Selatan untuk menyuarakan penentangan terhadap kezaliman.

Beliau berkata, situasi di Gaza amat meruncing apabila ribuan kanak-kanak kehilangan nyawa bukan kerana serangan bersenjata semata-mata, tetapi akibat kelaparan.

“Pelancaran konvoi ini mencerminkan kebangkitan sebuah rantau yang akhirnya bersuara lantang dan tegas. Cukup dengan pengepungan, cukup dengan kebuluran dan cukup dengan kebisuan dunia.

“Segala bantuan telah tersedia. Lori sudah bersedia, kapal juga menunggu. Namun sempadan masih tertutup rapat. Kebuluran ini bukan satu bencana alam, tetapi bencana yang dicipta oleh tangan manusia. Ia tidak akan berakhir selagi dunia terus berdiam diri,” katanya.

Muhd. Haikal berkata, Konvoi Sumud Nusantara yang membawa maksud ‘keteguhan dari Nusantara’ muncul sebagai satu inisiatif untuk mengangkat suara rakyat biasa agar tidak terus menjadi penonton kepada penderitaan yang berpanjangan.

Katanya, konvoi tersebut dinaungi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan akan merentasi pelbagai kawasan di Asia Tenggara termasuk Malaysia, Thailand dan Indonesia sebelum delegasi terpilih berlepas ke Eropah bagi menyertai kapal-kapal dalam armada Freedom Flotilla yang menuju ke Gaza.

“Pelancarannya turut melibatkan himpunan serentak jutaan peserta di lima buah negara iaitu Pakistan, Bangladesh, Sri Lanka, Maldives dan Filipina yang disiarkan secara langsung merentas sempadan,” katanya.

Dalam kenyataan sama, GPM turut menggesa pemimpin kerajaan supaya menuntut pembukaan sempadan Rafah agar bantuan kemanusiaan dapat disampaikan tanpa sekatan.

Orang ramai pula digalakkan menyertai konvoi dan memberi sumbangan menerusi laman web risegaza.com atau mendaftar di globalsumudflotilla.org. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN