Konflik Palestin perlu segera ditamatkan

Konflik Palestin perlu segera ditamatkan

MOHAMAD HASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Konflik berpanjangan di beberapa negara termasuk Palestin yang mencetuskan kebimbangan dunia perlu ditamatkan segera berasaskan kepada prinsip undang-undang antarabangsa.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, konflik paling lama dalam sejarah adalah yang berpunca daripada penjajahan tidak sah khususnya di Gaza.

Tegasnya, semua usaha ke arah keamanan perlu berasaskan kepada prinsip undang-undang antarabangsa, undang-undang kemanusiaan serta Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Konflik paling lama dalam sejarah yang berpunca daripada penjajahan tidak sah ke atas Wilayah Palestin mesti ditamatkan segera.

“80 tahun kekebalan telah mendorong Israel melakukan jenayah secara terbuka, termasuk kekejaman terhadap bayi dan kanak-kanak. Ini tidak boleh diterima dan mesti dihentikan,” katanya ketika ucapan pembukaan Mesyuarat Menteri Luar EAS di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, Malaysia menggesa negara-negara Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) untuk terus memperkukuh komitmen kolektif dalam mempertahankan keamanan, kestabilan dan kemakmuran global yang semakin terancam berikutan pelbagai krisis ketika ini.

Katanya, dalam hal ini, EAS perlu kekal sebagai platform penting dalam menyatukan kuasa-kuasa serantau serta global bagi menangani cabaran bersama.

Mohamad berkata, sidang itu dilihat bukan sahaja sebagai forum dialog strategik, malah berpotensi menjadi pemacu utama dalam memperluas kerjasama ekonomi dan meningkatkan ketahanan sosio-ekonomi serantau.

“Dengan jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sekitar AS$68 trilion, negara-negara peserta EAS mewakili lebih separuh daripada ekonomi dunia.

“Ini membuktikan bahawa EAS bukan sekadar platform perbincangan, tetapi merupakan platform bagi mengukuhkan kerjasama ke arah kemakmuran bersama,” katanya.

Mohamad turut menegaskan bahawa dunia kini sedang melalui zaman yang mencabar dengan peningkatan konflik bersenjata, persaingan kuasa besar, perpecahan ekonomi, perubahan teknologi pesat serta ancaman keselamatan rentas negara yang semakin kompleks.

“EAS perlu kekal berfungsi sebagai forum terbuka, inklusif, telus dan berpandangan jauh. ASEAN sebagai teras utama memerlukan kerjasama erat semua pihak untuk memelihara nilai sejagat dan undang-undang antarabangsa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN