Kite4Palestine mahu lima tuntutan utama dipenuhi

Kite4Palestine mahu lima tuntutan utama dipenuhi

SEBAHAGIAN daripada aktiviti yang diadakan sempena himpunan aman Kite4Palestine di Padang Kota Lama, George Town, Pulau Pinang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Lima tuntutan utama disuarakan dalam himpunan aman, Kite4Palestine di Padang Kota Lama di sini yang bertujuan mahu menamatkan penderitaan rakyat Palestin khususnya di Gaza.

Pengerusi Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, antara tuntutan itu termasuklah menuntut gencatan senjata kekal serta pelaksanaan embargo senjata antarabangsa yang mengikat terhadap Israel. 

“Sebarang rundingan damai tidak bermakna jika senjata terus dihantar kepada rejim yang melakukan pembunuhan beramai-ramai ini,” katanya ketika berucap semasa himpunan aman Kite4Palestine di Padang Kota Lama di sini, hari ini.

Selain Mapim, himpunan itu turut menerima sokongan daripada lebih 15 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang lain termasuk Citizens International, MARHAEN Penang dan AMAL Relief Malaysia.

Mengulas lanjut, Mohd. Azmi berkata, tuntutan kedua ialah mahu sebuah tribunal jenayah perang antarabangsa yang bebas dan telus dengan akses penuh ke Gaza ditubuhkan bagi menyiasat kekejaman yang dilakukan.

Katanya, bagi tuntutan ketiga, mereka mahu pasukan perlindungan kemanusiaan antarabangsa ditempatkan segera di Gaza di bawah mandat kecemasan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi melindungi rakyat awam daripada terus menjadi sasaran.

“Sementara itu, tuntutan keempat kami ialah seruan kepada pemboikotan global dan sekatan ekonomi terhadap syarikat-syarikat yang dikenal pasti bersubahat dalam menjayakan ekonomi genosid Israel. 

“Kami juga menuntut penyaluran segera dan tanpa halangan bantuan makanan, ubat-ubatan dan kemanusiaan ke Gaza. Bantuan ini tidak lagi boleh dikendalikan oleh Gaza Humanitarian Fund (GHF). 

“Sebaliknya, ia perlu disalurkan melalui organisasi yang dipercayai dan berkecuali seperti PBB dan Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin,” ujar beliau. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN