Lembaga Keamanan ‘halalkan’ rampasan tanah Gaza - NGO

Lembaga Keamanan ‘halalkan’ rampasan tanah Gaza – NGO

GAZA tidak boleh terus berlegar dalam kerangka bantuan jangka pendek sebaliknya memerlukan pemulihan ekonomi yang berstruktur, berdaya tahan dan berasaskan hak untuk hidup. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengecam penubuhan Lembaga Keamanan yang diumumkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Mereka menyifatkan ia cubaan mengesahkan rampasan tanah serta pembersihan etnik di Gaza melalui penjenamaan semula projek pembangunan hartanah di wilayah berkenaan.

Dalam kenyataan bersama, kumpulan tersebut mendakwa, penubuhan Lembaga Keamanan itu bertujuan mengubah Gaza menjadi destinasi mewah sebagai ‘Gaza Riviera’ demi keuntungan pelabur asing, tanpa menghiraukan hak dan nasib penduduk Palestin.

Katanya, pelan tersebut mencerminkan corak dominasi ekonomi kolonial terdahulu, apabila pembangunan dilaksanakan tanpa pemilikan rakyat Palestin dan proses pembinaan semula dilakukan tanpa hak penduduk menentukan nasib mereka sendiri.

“Trump, sekutunya dan pelabur yang selari bersedia untuk memiliki, mengawal serta meraih keuntungan daripada tanah, infrastruktur dan aktiviti ekonomi, sementara rakyat Palestin diletakkan sebagai tenaga kerja yang boleh dibuang.

“Ia adalah tumpuan kuasa kekal yang direka untuk menghalalkan pelucutan hak milik, mengkomersialkan kemusnahan dan menukarkan pelanggaran berat undang-undang antarabangsa kepada projek pembangunan hartanah berjenama,” katanya hari ini.

Kenyataan tersebut ditandatangani Pengerusi Eksekutif Polity, Nurul Izzah Anwar dan Pengerusi Bersama Anggota Parlimen ASEAN untuk Hak Asasi Manusia (APHR), Charles Santiago.

Ia turut disokong Third World Network (TWN), Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR), Pure Hands Malaysia, Sahabat Alam Malaysia (SAM) serta Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).

Minggu lalu, Trump secara rasmi melancarkan Lembaga Keamanan itu dan memaklumkan AS akan bekerjasama dengan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi menangani krisis di Semenanjung Gaza serta isu berkaitan di luar wilayah tersebut.

Isu berkenaan turut dibangkitkan di Dewan Rakyat apabila Syahredzan Johan (PH-Bangi) menggesa kerajaan menolak sebarang jemputan ke acara anjuran Kedutaan AS di Kuala Lumpur sebagai tanda protes terhadap penubuhan lembaga tersebut.

Syahredzan berkata, lembaga yang pada asalnya dikatakan bertujuan membangunkan semula Gaza itu kini dilihat seolah-olah mahu menjadi pengganti peranan PBB.

Kumpulan itu berkata, inisiatif tersebut dirancang tanpa kehadiran atau persetujuan wakil politik dan masyarakat sivil Palestin, malah penglibatan beberapa negara dalam badan berkenaan didakwa diperoleh melalui paksaan ekonomi termasuk ancaman tarif punitif.

Mereka turut menggesa masyarakat antarabangsa menolak skim tersebut yang disifatkan sebagai satu bentuk ‘songsangan moral’ kerana mengutamakan pembangunan infrastruktur mewah di tengah-tengah krisis kemanusiaan, sedangkan penduduk Gaza masih berdepan kekurangan makanan, ubat-ubatan dan keperluan asas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN