PUTRAJAYA: Ketua Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) ditegur selepas siasatan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mendapati wujud kelemahan dalam kelulusan permohonan melibatkan bot kenka.
Bot kenka ialah bot nelayan yang digunakan untuk aktiviti perikanan tetapi permohonannya tidak mematuhi syarat kelulusan dan pertukaran zon perairan yang tidak selaras dengan dasar serta pekeliling pelesenan sedia ada.
Dalam kenyataan hari ini, EAIC memaklumkan, pihaknya menerima aduan berkaitan tindakan DOF meluluskan permohonan melibatkan bot kenka dan permohonan pertukaran zon yang dikatakan tidak mengikut ketetapan syarat atau pekeliling pelesenan serta bercanggah dengan dasar perikanan sedia ada.
“Siasatan dijalankan susulan aduan yang diterima terhadap jabatan berkenaan mengikut Subseksyen 27(4), Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700].
“Siasatan tersebut mendedahkan wujud kelulusan permohonan pertukaran hak milik vesel nelayan yang tidak mematuhi dasar dan syarat yang telah ditetapkan sendiri oleh DOF.
“EAIC berpandangan tindakan sedemikian bukan sahaja bercanggah dengan dasar perikanan negara, malah menimbulkan keraguan dari segi ketelusan dan pematuhan terhadap tatacara sedia ada,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, EAIC telah mengesyorkan dua tindakan kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan iaitu memberikan surat teguran kepada Ketua Jabatan DOF bagi memastikan pematuhan terhadap dasar serta syarat yang ditetapkan jabatan tersebut.
Katanya, semua kelulusan yang telah diberikan kepada vesel-vesel yang terlibat perlu disemak semula bagi menjamin ketelusan dan pematuhan terhadap pekeliling sedia ada.
“EAIC menegaskan bahawa sebarang tindakan yang bercanggah dengan dasar perikanan bukan sahaja menjejaskan tadbir urus, tetapi turut membuka ruang kepada ketirisan serta eksploitasi sumber perikanan negara,” katanya. – UTUSAN