KUALA TERENGGANU: Mahkamah Majistret di sini, hari ini menetapkan 24 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes seorang peniaga kosmetik yang berdepan pertuduhan mengedar lebih satu kilogram dadah.
Majistret Iffah Nabihah Mohd Ishak menetapkan tarikh tersebut bagi membolehkan pihak pendakwaan mengemukakan laporan kimia berkaitan rampasan dadah dalam kes berkenaan.
Mengikut pertuduhan, Abdul Rahman Mohamad Hussain, 36, didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 1.015 kilogram. Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis perniagaan di Pusat Niaga Paya Keladi, di sini pada pukul 8.40 malam, 28 April lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan minimum 15 sebatan, jika sabit kesalahan. Mahkamah tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh berikutan kes melibatkan kesalahan berat berkaitan dadah.
Media sebelum ini melaporkan kegiatan pengedaran dadah berselindung di sebalik perniagaan kosmetik berjaya dikesan polis dengan rampasan keseluruhan termasuk aset bernilai lebih RM1 juta. – UTUSAN










