IPOH: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan pihak pembelaan mewakili pegawai kanan polis, Deputi Superintenden Mohd. Nazri Abdul Razak yang didakwa membunuh seorang pelajar tingkatan lima untuk memfailkan hujahan bertulis yang baharu dalam tempoh enam minggu.
Ini kerana, hujahan bertulis yang difailkan pembelaan sebelum ini tidak menjawab kepada hujahan yang difailkan oleh pendakwaan.
“Memandangkan peguam bela akan failkan hujahan bertulis yang baharu, saya benarkan penangguhan ini untuk pihak pembelaan failkan hujahan yang baharu.
“(Mahkamah beri) masa enam minggu kepada pihak pembelaan dan pihak pendakwaan perlu menjawab dalam masa empat minggu,” kata Hakim Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet dalam prosiding di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Hakim Bhupindar kemudian menetapkan 1 dan 2 Oktober depan bagi pendengaran hujahan lisan kes bunuh Muhammad Zaharif Affendi Muhd. Zamrie, 17, membabitkan pegawai kanan polis, dua tahun lalu.
Mahkamah Tinggi sebelum ini menetapkan tiga hari bermula hari ini hingga Jumaat untuk mendengar hujahan lisan di akhir kes pendakwaan.
Terdahulu, pihak pembelaan yang diketuai M. Athimulan memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pembelaan perlu menyemak semula hujahan mereka.
“Hujahan kami merangkumi kedua-dua Seksyen 300(c) dan (d) Kanun Keseksaan, tetapi lebih tertumpu kepada Seksyen 300(c). Namun, pendirian pihak pendakwaan pula bergantung kepada Seksyen 300(d).
“Perkara ini menyebabkan keperluan untuk menyemak semula keseluruhan hujahan. Sehubungan itu, kami memohon penangguhan untuk memfailkan hujahan baharu, dengan izin mahkamah dalam tempoh kira-kira enam minggu,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz ketika ditemui pemberita mengesahkan perkara tersebut.
Katanya, dalam hujahan bertulis yang difailkan pihak pendakwaan sebelum ini memberi tumpuan kepada Seksyen 300(d) Kanun Keseksaan.
“Dalam ucapan pembukaan (5 November 2024), (pihak pendakwaan) akan membuktikan kes bergantung kepada Seksyen 300(c) dan atau Seksyen 300(d) Kanun Keseksaan.
“Jadi, dalam hujahan bertulis yang dikemukakan, kita beri fokus kepada Seksyen 300(d) iaitu berkaitan isu pengetahuan, namun yang diterima daripada pihak pembelaan pula membabitkan Seksyen 300(c). Oleh itu, mereka perlu kemuka hujahan baharu untuk menjawab isu tersebut,” katanya.
Seksyen 300(c) memperuntukkan kesalahan membunuh jika perbuatan dilakukan dengan niat untuk menyebabkan kecederaan dan kecederaan itu cukup lazimnya untuk menyebabkan kematian.
Manakala Seksyen 300(d) pula merujuk kepada perbuatan yang dilakukan dengan pengetahuan bahawa ia amat berbahaya dan boleh menyebabkan kematian walaupun tanpa niat langsung.
Pada prosiding hari ini, pihak pendakwaan turut diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Nasrul Hadi Abdul Ghani manakala pihak pembelaan turut dibarisi peguam-peguam bela, Datuk Mior Faridalathrash Wahid dan Aiman Hakim Kamaruzzaman.
Mengikut pertuduhan, Mohd. Nazri, 46, yang sebelum ini bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah didakwa telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Muhammad Zaharif Affendi.
Perbuatan tertuduh itu dilakukan di persimpangan Jalan Taman Jati 1/Jalan Pekeliling Meru Indah berhampiran SMK Jati di dalam daerah Kinta antara pukul 11.45 pagi hingga 12.32 tengah hari, 15 Disember 2023. – UTUSAN










