IPOH: Kes kematian seorang lelaki berusia 57 tahun di Taman Tasek Damai di sini pada 24 Jun lalu, masih dalam siasatan dan berkemungkinan melibatkan jenayah terancang.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, pada peringkat awal pihaknya menjangkakan ia hanya bersifat tempatan namun telah diserahkan kepada Unit Siasatan Jenayah PDRM Bukit Aman dan polis Perak akan membantu siasatan.
“Kes ini besar walaupun berlaku di Perak. Masih dalam siasatan, kita tidak boleh mengandaikan apa-apa lagi. Ia merupakan satu teka-teki berbanding yang dijangkakan sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program derma darah Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak sempena peringatan Hari Polis Ke-218 tahun 2025 di sini hari ini.
Kes tersebut melibatkan mangsa seorang lelaki yang ditemukan maut dengan kesan kelar serta tikaman di dada serta perut di sebuah rumah, dan turut didapati mempunyai kesan luka tembakan di dada yang dipercayai menjadi punca kematian.
Berikutan itu, polis menahan seorang lelaki berusia 31 tahun yang dipercayai anak mangsa dan suspek direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad sebelum ini berkata, mangsa bekerja sambilan sebagai penjual produk kesihatan itu tinggal di rumah berkenaan bersama suspek berusia 31 tahun.
Berkenaan program yang dihadirinya, Noor Hisam berkata, usaha itu merupakan tanggungjawab sosial PDRM Perak untuk menyumbang kepada bank darah negeri Perak dan meletakkan sasaran mencecah 300 penderma.. – UTUSAN










