BUKIT MERTAJAM : Selepas lebih lapan tahun dibelenggu oleh masalah kesesakan luar biasa akibat kerja-kerja naik taraf jalan yang tergendala, pengguna Jalan Tok Kangar di sini kini boleh menarik nafas lega apabila isu itu hampir diatasi sepenuhnya.
Ia susulan penyambungan semula projek fasa dua yang tertangguh iaitu melibatkan kerja-kerja pelebaran serta penaiktarafan jalan berkenaan yang dijangka siap sepenuhnya pada 14 Oktober tahun depan.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari berkata, terdahulu, kelewatan pelaksanaan projek tersebut berlaku disebabkan oleh beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan.
Beliau berkata, antara faktor itu termasuk kontraktor asal tidak dapat memenuhi terma-terma kontrak selain gagal menyiapkan projek mengikut tempoh yang ditetapkan sehingga kontrak mereka terpaksa ditamatkan pada 23 Disember lalu.
Justeru katanya, bagi mengatasi masalah itu, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) selaku agensi pelaksana kini telah melantik kontraktrok penyiap baharu untuk menjalankan baki-baki kerja di tapak.
“Fasa pertama pembinaan jalan ini (termasuk pembinaan jambatan) telah siap pada 2018 manakala fasa kedua pula ketika ini telah 76 peratus siap sebelum ia diambil alih oleh kontraktor baharu pada 15 April lalu.
“Disebabkan pertukaran kontraktor ini juga, kos projek khususnya bagi fasa dua telah meningkat daripada RM22,981,000 kepada RM52,841,626 termasuk kos tambahan bagi menyiapkan skop baharu iaitu sebanyak RM29,869,626.
“Skop baharu ini meliputi pembinaan jambatan baharu dan kolam takungan sementara bagi mengurangkan risiko banjir serta kemudahan untuk membuat pusingan U berhampiran kawasan Taman Delima di sini,”katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas melawat tapak projek dengan ditemani Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah, Gooi Hsiao Leung serta wakil PDC.
Sempena lawatan tersebut, Zairil turut mengumumkan pembukaan satu lencongan khas di Jalan Tok Kangar bermula hari ini bagi memudahkan pengguna jalan raya di situ sekali gus membantu menyuraikan masalah kesesakan trafik buat sementara waktu.

Dalam pada itu, Hsiao Leung berkata, perkembangan terkini projek tersebut diharap akan memberikan kelegaan kepada penduduk setempat terutamanya pengguna yang melalui Jalan Tok Kangar-Juru hampir setiap hari.
“Saya difahamkan, lampu-lampu solar dan CCTV (kamera litar tertutup) juga telah dipasang di sepanjang laluan ini demi keselamatan pengguna,” katanya.-UTUSAN