KEMENTERIAN Kesihatan melalui agensi ProtectHealth Corporation Sdn. Bhd. (“Protecthealth”) menawarkan saringan kesihatan percuma khususnya kepada kumpulan B40. Mengambil pendekatan mencegah lebih baik daripada mengubati, skim PeKa B40 bertujuan menampung keperluan kesihatan kumpulan berpendapatan rendah dengan memberi fokus terhadap penyakit tidak berjangkit (NCD).
Lebih daripada setengah juta atau 2.5% dewasa di Malaysia menghidap empat penyakit tidak berjangkit berdasarkan data Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2023 iaitu kencing manis, tekanan darah tinggi, kolestrol tinggi dan masalah obesiti.
Dua daripada lima dewasa berumur 18 tahun ke atas tidak melakukan saringan kesihatan dalam tempoh 12 bulan yang lalu adalah 90% daripada mereka merasakan mereka sihat. Hal ini amat membimbangkan sekiranya masyarakat tidak peka dan cakna akan kesihatan kendiri.
Melalui skim PeKa B40, penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang berumur 40 tahun ke atas dan pasangannya yang berdaftar layak mendapatkan saringan kesihatan secara percuma. Sehingga 31 Mei 2025, seramai 1.6 juta rakyat Malaysia yang layak telah melakukan saringan kesihatan di hospital awam, klinik kesihatan (KK) yang berhampiran dan klinik swasta yang berdaftar dengan ProtectHealth.
Selain manfaat saringan kesihatan percuma, alat bantuan perubatan sebanyak RM20,000 juga dapat dinikmati oleh penerima yang layak malah, bantuan RM1,000 juga diberikan kepada pesakit kanser yang melengkapkan rawatan dan insentif tambang pengangkutan sehingga RM1,000 turut diberikan melalui manfaat PeKa B40.
Salah seorang penerima alat bantuan perubatan adalah Puan Halizah yang telah menerima manfaat bantuan alat kaki palsu bawah lutut selepas kehilangan anggota kaki akibat komplikasi kesihatan. Alat bantuan yang diterima ini membantu beliau kembali melangkah untuk meneruskan rutin harian.
PeKa B40 bukan sekadar bantuan tetapi merupakan peluang kedua untuk meneruskan kehidupan yang lebih bermakna. Sebagai langkah proaktif untuk mendekati kumpulan B40, ProtectHealth telah melaksanakan saringan kesihatan PeKa B40 secara turun padang melalui lawatan dari rumah ke rumah.
Program ini dijalankan bersama sama Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Sabah dan PPR Sri Melaka, Cheras menerusi kerjasama strategik antara ProtectHealth dan Megaklinik Zahran. Inisiatif ini telah memberi manfaat kepada penghuni PPR yang berpeluang menjalani saringan kesihatan secara percuma.
Skim yang telah memasuki tahun keenam yang dilaksanakan oleh ProtectHealth ini tidak memerlukan pendaftaran. Semakan kelayakan boleh dibuat di laman sesawang ProtectHealth dengan memasukkan nombor kad pengenalan individu. Sekiranya layak, penerima boleh hadir ke klinik kesihatan yang berhampiran atau klinik swasta yang berdaftar dengan membawa kad pengenalan.
Penerima manfaat akan menerima saringan kesihatan percuma pada lawatan yang pertama dan lawatan kedua akan dibuat selepas mengetahui keputusan makmal. Bagi yang belum melakukan saringan kesihatan, rebutlah peluang ini dengan baik. Sayangi diri anda sebelum terlambat. Jadilah individu yang peka dan cakna tentang tahap kesihatan diri.-UTUSAN