IPOH: Kerajaan negeri tiada halangan sekiranya Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) ingin mengambil pemain import untuk menguatkan pasukan Perak FA dalam saingan Liga A1 Semi-Pro disebalik isu kewangan yang melanda bola sepak Perak baru-baru ini.
Perak FA dijangka menguji pemain import pada pertengahan Julai ini menerusi perlawanan persahabatan menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 17 Julai dan Melaka FC pada 25 Julai.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, perkara itu terserah kepada Pafa untuk mengenal pasti awang import yang bersesuaian dengan sistem permainan dan gaji yang ditetapkan.
“Kita tiada halangan. Itu terpulang kepada pihak pengurusan tertinggi Pafa, hal itu dibawah bidang kuasa mereka.
“Kita sentiasa menyambut baik untuk perkembangan sukan khususnya bola sepak negeri Perak,” katanya selepas merasmikan Pesta Sukan Ukur Se-Malaysia (Pesuma) Ke-35 anjuran Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) di sini malam tadi.
Perak FA dilihat oleh penyokong sebagai pengganti Perak FC dalam kancah bola sepak negara dengan bajet yang lebih rendah melalui penyertaan Liga A1 musim 2025/2026.
Saingan Liga A1 membenarkan penggunaan tiga pemain import tanpa sekatan umur namun dilaporkan pasukan diwajibkan menyediakan deposit tiga bulan gaji untuk pemain import tersebut.
Khairudin berkata, beliau difahamkan Perak FA telah menandatangani 24 pemain iaitu 11 berstatus senior manakala 13 lagi dikategorikan pelapis Perak untuk Sukan Malaysia (Sukma) 2026 di Selangor.
Mengenai lokasi perlawanan Perak FA, beliau berkata perkara itu terserah kepada Pafa memandangkan Stadium Perak masih dalam kerja-kerja penukaran padang sementara Stadium Majlis Perbandaran Manjung akan digunakan oleh Manjung City FC yang turut menyertai Liga A1 kali ini. – UTUSAN