PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan kerajaan ketandusan calon susulan pemangkuan tugas dua jawatan menteri oleh anggota Kabinet sedia ada.
Perdana Menteri berkata, pemilihan Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Datuk Seri Johari Abdul Ghani adalah bagi memangku tugas jawatan menteri yang kosong itu sehingga ada pelantikan baharu.
Beliau berkata, ada pihak yang keliru dengan pemilihan kedua-dua menteri itu sebaliknya mereka hanya menjalankan tugas sahaja.
“Ada yang cakap keliru (pemilihan dua menteri itu). Kononnya tak ada orangkah kita nak pakai (lantik) sehingga kena ambil orang untuk pangku. Itu tak betul. Kalau ada ahli Parlimen pembangkang itu tak faham, susah lah.
“Sekarang ini kita minta Amir Hamzah jalankan tugas dan Johari jalankan tugas. Kemudian jalan dengan baik, tak payah terburu-buru,” katanya ketika ditemui selepas menunaikan Solat Jumaat di Surau Ar-Rahim, Presint 15, di sini hari ini.
Sebelum ini Amir Hamzah dilantik menjalankan tugas dan fungsi Menteri Ekonomi berkuat kuasa serta-merta.
Terdahulu, Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Ekonomi pada 27 Mei lalu.
Manakala, Johari iaitu Menteri Perladangan dan Komoditi pula dipilih bagi menjalankan tugas dan fungsi Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) berkuat kuasa serta-merta.
Pada 28 Mei lalu, Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan sudah menghantar surat peletakan jawatannya sebagai Menteri NRES kepada Perdana Menteri, berkuat kuasa 4 Julai lalu. – UTUSAN