Kerajaan berbelanja melampau, hutang negara bakal cecah RM1.3 trilion - Dominic

Kerajaan berbelanja melampau, hutang negara bakal cecah RM1.3 trilion – Dominic

DOMINIC LAU HOE CHAI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Amalan perbelanjaan melampau oleh Kerajaan Perpaduan ketika ini dikhuatiri akan menjejaskan pencapaian sasaran Belanjawan 2025 dan memberi kesan negatif terhadap penarafan kredit negara.

Presiden Nasional Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga kini gagal mengemukakan penyelesaian konkrit dalam usaha menjana pendapatan negara secara mampan.

“Pendapatan rakyat kekal rendah, hutang negara pula semakin meningkat seperti Gunung Everest. Dalam bab berhutang, kerajaan pimpinannya memang ‘pakar’.

“Rakyat perlu bangkit dan menyertai perhimpunan besar-besaran Sabtu ini bersama Perikatan Nasional (PN) bagi menyatakan tuntutan agar beliau meletakkan jawatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Dominic, meskipun pentadbiran Anwar baru memasuki tahun ketiga, situasi kewangan negara semakin membimbangkan apabila jumlah pinjaman bersih kerajaan dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini telah mencecah RM81.28 bilion.

Jumlah itu, katanya, melebihi had pinjaman RM80 bilion yang ditetapkan dalam Belanjawan 2025.

“Jika kerajaan mahu terus berhutang dalam tempoh lima bulan akan datang tetapi masih mahu mematuhi had belanjawan, lebihan pinjaman RM1.28 bilion itu perlu terlebih dahulu dilangsaikan,” katanya.

Dominic berkata, peningkatan hutang yang berterusan hanya akan membebankan rakyat dengan kos pinjaman lebih tinggi pada masa depan, kesan daripada ketirisan dan pembaziran pentadbiran Madani.

Jelasnya, berdasarkan trend semasa, jumlah hutang negara dijangka melepasi paras RM1.3 trilion tahun ini dan melebihi 64 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), sekali gus melangkaui had statutori yang ditetapkan.

“Kerajaan perlu menjelaskan jumlah sebenar pembayaran hutang yang telah dibuat sejak November 2022 serta mendedahkan jumlah pinjaman baharu yang diambil sepanjang tempoh sama.

“Tetapi Perdana Menteri lebih ghairah mengumumkan ‘bonus khas’ RM100 dan penurunan harga petrol RON95 kepada RM1.99 seliter, tanpa menjelaskan dari mana datangnya dana bagi membiayai langkah tersebut,” katanya.

Menurut Dominic, tindakan kerajaan yang terus berbelanja besar atas dasar populis sebagai tidak bertanggungjawab dan berisiko menjejaskan masa depan ekonomi negara.

“Kononnya untuk memahami keluhan rakyat, tetapi hakikatnya kerajaan terus berhutang dan membelanjakan wang demi meraih sokongan politik. Ini bukan pentadbiran berhemah, sebaliknya satu bentuk pemerintahan yang amat tidak waras,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN