Kenapa hanya roboh 9 daripada 60 gerai?

Kenapa hanya roboh sembilan gerai?

JOHARI Abdul Ghani (dua dari kiri) meninjau kawasan gerai yang bakal dirobohkan susulan pelaksaan projek pembesaran jalan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur di Jalan 2/76, Desa Pandan, Kuala Lumpur semalam. – UTUSAN/M.FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hanya merobohkan sembilan daripada 60 gerai di Desa Pandan bagi memberi laluan kerja pelebaran Jalan 2/76 dipersoal meskipun memiliki lesen perniagaan yang sah.

Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, tindakan merobohkan gerai demi melaksanakan projek melebar laluan sepanjang kurang satu kilometer itu dilihat tidak wajar kerana ia bukanlah jalan utama.

Katanya, laluan berkenaan hanyalah jalan pintas yang melibatkan jambatan kecil merentasi longkang besar dan dicadang kan ditutup kerana pernah menyebabkan sebuah treler tersangkut ketika cuba melaluinya.  

“Mereka bukan peniaga haram, mereka mempunyai lesen sah dan ada yang sudah berniaga lebih 10 tahun. Ini adalah punca rezeki mereka.

“Tetapi tiba-tiba 56 anggota penguat kuasa DBKL datang untuk merobohkan gerai. Kalau hendak roboh, ada lebih 60 gerai lain di bahagian hadapan. Kenapa hanya sembilan ini sahaja?

“Lebih tidak masuk akal, jalan diperluas di sini tetapi kembali sempit di bahagian depan, dimana logiknya?,” katanya ketika mengadakan pertemuan bersama wakil penduduk dan peniaga terkesan di sini semalam.

Pada Selasa lalu, DBKL menjelaskan proses pengosongan dan perobohan struktur di kawasan berkenaan dilaksanakan secara telus serta mematuhi prosedur ditetapkan.

DBKL berkata, lesen perniagaan sembilan tapak telah dibatalkan bermula 10 Januari lalu dan semua peniaga telah dimaklumkan secara rasmi pada 15 Januari untuk mengosongkan tapak dalam tempoh ditetapkan.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) itu turut mengeluarkan notis pengosongan pada 4 Julai lalu, sebagai langkah akhir sebelum perobohan dijalankan, sebaliknya tindakan itu ditangguh susulan kekecohan berlaku di lokasi.

Johari yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, beliau tidak menolak sebarang bentuk pembangunan, namun mahu sebarang pelaksanaan projek dilakukan secara telus dan mendapat persetujuan bersama.

“Sebagai Ahli Parlimen kawasan ini, saya bukan menolak pembangunan, tetapi DBKL perlu datang jumpa saya, bukan saya cari mereka.

“Saya sudah dua kali berjumpa mereka sebelum ini. Kalau mahu teruskan juga projek ini, maklumkan dahulu dan tangguhkan sementara. DBKL juga perlu menulis surat rasmi kepada saya jika berhasrat untuk meneruskan projek tersebut,” katanya.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wila­yah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, DBKL akan mengadakan sesi libat urus lanjut mengenai kerja-kerja menaik taraf jalan termasuk bertemu sembilan peniaga dalam masa terdekat.

“Insya-Allah, dalam bulan ini kita akan bertemu lagi dengan mereka untuk berbincang mengenai lokasi baharu. Ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Lestari Niaga sedang dilaksanakan di Kuala Lumpur.

“Sebahagian peniaga telah bersetuju, namun ada juga yang masih belum bersetuju. Oleh itu, sesi libat urus amat penting bagi mencapai persetujuan bersama,” katanya selepas merasmikan Majlis Peluncuran Projek Kepimpinan Perubahan Iklim dan Tenaga Hijau (IKLIM) Peringkat Wilayah Persekutuan 2025 di sini, semalam.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN