Kenanga lancar waran baharu

Kenanga lancar waran baharu, buka laluan pelabur ke pasaran China

PHILIP Lim (empat dari kiri) bersama wakil syarikat ketika penyenaraian di Bursa Malaysia, hari ini. - UTUSAN/SABRINA ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kenanga Investment Bank Berhad (Kenanga) melancarkan waran berstruktur baharu di Bursa Malaysia, membolehkan pelabur Malaysia mendapat akses terpelbagai kepada dua indeks paling berpengaruh di Hong Kong

Dua indeks utama Hong Kong itu adalah Hang Seng China Enterprises Index (HSCEI) dan Hang Seng TECH Index (HSTECH).

HSCEI meliputi gergasi kewangan dan infrastruktur seperti ICBC, China Construction Bank, PetroChina dan Ping An Insurance serta berfungsi sebagai penanda aras utama untuk menjejak prestasi perusahaan milik negara terbesar China.

Sementara itu, HSTECH merangkumi inovator teknologi terkemuka China seperti Tencent, Meituan, Xiaomi dan JD.com, dengan tumpuannya pada teknologi dan inovasi yang berkembang pesat.

Ketua Pasaran Ekuiti dan Ketua Kumpulan Derivatif Ekuiti Kenanga Investment Bank Berhad, Philip Lim berkata, ramai pedagang dan pelabur kini tidak mahu terlalu bergantung kepada pasaran Amerika Syarikat (AS).

“Kita lihat banyak syarikat China baharu dimasukkan, jadi ramai pedagang dan pelabur sedang mencari peluang lain selain pasaran AS, terutamanya jika berlaku isu tarif. Mereka mahu mengurangkan kebergantungan kepada pasaran AS dan mula melihat peluang di pasaran lain.

“Berdasarkan pembelajaran mesin, analisis data dan perbincangan dengan pelanggan, kami mendapati sektor ini menjadi tumpuan pelabur yang mahu meneroka pasaran China, kerana Hong Kong kini berperanan sebagai pintu masuk utama ke ekonomi China,” katanya dalam sidang media selepas penyenaraian syarikat itu di Bursa Malaysia. 

Mengulas mengenai peluang pasaran dengan pelancaran waran baharu itu, Philip berkata, permintaan daripada pelabur Malaysia terhadap sektor kewangan dan teknologi China dijangka kekal tinggi.

Ditanya sama ada terdapat rancangan untuk mengembangkan lagi ke indeks atau sektor Asia lain melalui waran berstruktur dalam masa terdekat, beliau berkata, pihaknya sentiasa melihat kepada kehendak pelanggan.

Menurutnya, Kenanga bertanggungjawab membawa produk yang sesuai ke pasaran supaya ia bukan sekadar dikeluarkan begitu sahaja, tetapi kekal aktif dan menarik.

“Ya dan kami akan melihat apa yang pelanggan mahu. Melalui data yang kami kumpul dan pembelajaran mesin, kami dapat mengenal pasti industri atau indeks yang mereka minati.

“Kami juga bertanggungjawab mendidik pelanggan kami. Jika ada permintaan, kami pasti akan melaksanakannya,” tambah beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN