Kempen politik negatif merugikan

Kempen politik negatif merugikan

ANWAR Ibrahim beramah mesra bersama peniaga Pasar Payang semasa perasmian penutup Program Madani Rakyat 2025 di Kedai Pasar Payang, Kuala Terengganu, Terengganu, semalam. – MINGGUAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Kempen politik negatif terhadap kerajaan hanya merugikan semua pihak apabila asyik berbalah antara satu sama lain.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, rakyat diingatkan supaya menghindarkan bentuk kempen politik seperti itu.

“Saya harap kempen dan ce­ramah negatif perlu ada kawalan. Ada tuduhan yang mengatakan saya tidak bantu orang Melayu dan itu tidak benar.

“Lihat sahaja pada program hari ini, saya menyaksikan pembangunan yang dijalankan di Terengganu hasil daripada pengumuman dalam belanjawan negara yang diumumkan tahun lalu.

“Saya berharap kerajaan ne­geri dapat mengekalkan hubu­ngan baik dengan Persekutuan agar perancangan pembangunan yang dirancang dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya ketika berucap merasmikan Program Madani Rakyat (PMR) Negeri Terengganu di Pasar Kedai Payang di sini, semalam.

Anwar berkata, terdapat beberapa isu diutarakan hasil lawatannya ke negeri ini yang memerlukan tindakan segera daripada kerajaan seperti hakisan pantai yang belum dapat diatasi.

“Saya akan gesa kementerian bertanggungjawab supaya mencari solusi secepat mungkin untuk mengelak hakisan yang lebih teruk,” katanya.

Beliau berkata, PMR Negeri Terengganu dapat memperkukuh penglibatan rakyat secara langsung dalam pelaksanaan projek-projek pembangunan negara serta mengangkat elemen kesejahte­raan rakyat.

Anwar juga mengumumkan peruntukkan sebanyak RM5.27 juta untuk Program Tuisyen Madani di negeri ini yang memberi manfaat kepada 9,408 pelajar dengan kerjasama 614 pengajar untuk membantu mereka yang terdiri daripada golongan miskin supaya tidak keciciran.

Sementara itu, dalam program berasingan, Anwar berkata, pelaksanaan projek Loji Solar Terapung Hibrid Hidro (HHFS) dan Hab Hidrogen Hijau di Kenyir menjadi pemangkin kepada agenda peralihan tenaga negara serta melon­jakkan kedudukan Terengganu sebagai hab tenaga bersih serantau.

Inisiatif itu adalah kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB), Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) dan Kumpulan Terengganu Inc. bagi memperkukuh pelan peralihan tenaga negara.

Katanya, pelaksanaan projek sekali gus berpotensi menarik lebih ramai pelabur ke negara ini.

“Pelaksanaan projek pembangunan HHFS dan Hab Hidrogen Hijau di Kenyir juga dapat membuka ruang kepada anak-anak tempatan terutama dari Kuala Berang untuk menerima Pendi­dikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) oleh Petronas dan TNB.

“Eloklah dirancang supaya ada tempat di mana anak-anak dari Kuala Berang dan Terengganu juga diberi latihan khusus satu kuota supaya ada manfaat dan faedah. Jadi, saya harap ini dapat disegerakan.

“Satu projek skala besar yang kita laksanakan, saya tidak mahu umpamanya ada rakan-rakan menganggap ini satu acara propaganda. Tidak,” katanya.

Hab Hidrogen Hijau adalah kerjasama strategik antara Petronas dan TNB yang menyaksikan kedua-dua pihak membangunkan pengeluaran hidrogen serta produk derivatifnya, manakala TNB turut memperkukuh infrastruktur grid. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN