Kembar dari Sabah pilih Unimap

Kembar dari Sabah pilih Unimap

MOHAMAD Mirwansyah Arah dan Mohamad Nirmansyah mendaftar untuk melanjutkan pengajian peringkat diploma di Unimap, Arau, Perlis. - UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Demi minat dalam bidang teknikal, pasangan kembar dari Sabah sanggup berjauhan dengan keluarga serta menempuh perjalanan jauh bagi me­lanjutkan pengajian di peringkat diploma di Universiti Malaysia Perlis (Unimap).

Memuatkan artikel berkaitan…

Mohamad Mirwansyah Arah dan Mohamad Nirmansyah, 18, yang berasal dari Sandakan, masing-masing mengikuti pe­ngajian dalam bidang Kejurute­raan Elektrik dan Kejuruteraan Pembuatan di universiti berke­naan.

Sebelum mendaftar di Unimap semalam, pasangan itu bersama keluarga memulakan perjalanan menaiki bas dari Sandakan ke Kota Kinabalu, seterusnya menaiki kapal terbang ke Semenanjung.

Ibu mereka, Anisah Nasir, 42, berkata, walaupun Sabah dan Perlis amat jauh dipisahkan Laut China Selatan, tetapi demi memastikan anak-anak memperoleh pendidikan yang berkualiti, mereka sekeluarga nekad menghantar dua beradik itu.

“Unimap adalah pilihan pertama pasangan kembar ini ke­rana mereka terlalu minat dalam bidang teknikal atau kejurute­raan.

“Lebih meyakinkan kami memilih Unimap walaupun jauh adalah kerana kakak pasangan ini, Sarifah Nurun Nisa, 19, juga sedang mengikuti pe­ngajian Dip­loma Kejuruteraan Elektrik di sini,” katanya ketika ditemui.

Pasangan itu antara 1,009 pelajar baharu peringkat diploma dan merupakan kemasukan paling ramai sejak penubuhan Unimap.

Sementara itu, Naib Canselor Unimap, Prof. Datuk Dr. Zaliman Sauli berkata, seramai 744 pelajar lelaki manakala 265 pe­rempuan yang mendaftar akan mengikuti tujuh program utama ditawarkan di tujuh fakulti termasuk Fakulti Komputeran Cerdas (FKC).

“Ia masing-masing melibatkan bidang Kejuruteraan Bahan (152), Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (145), Kejuruteraan Elektrik (155), Kejuruteraan Mekatronik (151), Kejuruteraan Komputer (108), Kejuruteraan Elektronik (162) dan Kejurute­raan Pembuatan (136).

“Peningkatan jumlah pelajar baharu itu bukan sekadar angka, tetapi merupakan satu amanah dan kepercayaan yang tinggi daripada ibu bapa dan pelajar kepada Unimap sebagai institusi pilihan untuk pendidikan tinggi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN