KUALA LUMPUR: Keluarga mendiang Teoh Beng Hock menolak permohonan maaf Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung insiden 16 tahun lalu.
Adik perempuan mendiang, Teoh Lee Lan, 45, berkata, permohonan maaf oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki itu tidak menggambarkan keikhlasan.
Menurutnya, niat SPRM yang ingin memberikan sumbangan ihsan kepada anak mendiang merupakan tindakan yang memalukan keluarga mereka.
“Permohonan maaf seumpama itu tidak membawa sebarang makna selagi tidak ada pengakuan atau tindakan.
“Keluarga menolak tawaran itu dan mendesak pegawai SPRM terbabit didakwa di mahkamah,” katanya dalam sidang media semalam.
Sebelum ini, Azam mengutuskan permohonan maaf dan simpati terhadap penderitaan ditanggung keluarga Beng Hock yang meninggal dunia ketika disoal siasat agensi berkenaan yang berlaku pada 2009.
Azam berkata, SPRM bersedia memberi sejumlah sumbangan ihsan kepada keluarga, khususnya bagi anak mendiang sebagai tanda keprihatinan.
Permohonan maaf itu dikemukakan pada hari ulang tahun ke-16 kematian Beng Hock yang juga merupakan Setiausaha Politik kepada Exco Selangor ketika itu, Ean Yong Hian Wah.
Sementara itu, peguam keluarga mendiang, Chew Pong Him menggesa supaya lima pegawai SPRM dikenakan tindakan mengikut undang-undang secara adil.
Katanya, tiada mana-mana individu yang bertanggungjawab atas kematian Beng Hock sejak 16 tahun lalu.
“Mereka sepatutnya diberkas, disiasat dan dihadapkan ke mahkamah, sama ada bersalah atau tidak biar mahkamah buat keputusan. Tapi apa yang berlaku, tiada seorang pun (didakwa),” katanya.
Beng Hock, 30, ditemukan mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam selepas disoal siasat oleh SPRM.
Mahkamah Rayuan pada 2014 memutuskan kematiannya disebabkan perbuatan satu atau lebih individu yang tidak dikenali ketika dalam tahanan SPRM.
Pada Mei lalu, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan kertas siasatan kes kematian Beng Hock diklasifikasi sebagai ‘Tiada Tindakan Lanjut’ (NFA) selepas Pejabat Peguam Negara meneliti keseluruhan keterangan dalam kertas siasatan yang dikemukakan oleh pihak polis.
Siasatan semula kes berkenaan dibuat susulan arahan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada November tahun lalu supaya siasatan dilengkapkan dalam tempoh enam bulan. – UTUSAN