JOHOR BAHRU: Johor sedang berdepan isu kekurangan petugas kesihatan yang serius dan kritikal melibatkan hospital-hospital utama negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, tekanan kerja tinggi bukan sahaja menjejaskan moral petugas, malah turut memberi kesan terhadap kualiti rawatan yang diterima pesakit.
Justeru, pihaknya komited untuk bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memastikan isu berkenaan dapat diatasi.
“Realitinya amat membimbangkan, kekurangan petugas kesihatan di hospital utama melibatkan pelbagai kategori, termasuk doktor pakar, pegawai perubatan, penolong pegawai perubatan, jururawat serta anggota sokongan lain.
“Sebagai contoh di beberapa wad, seorang jururawat terpaksa menguruskan antara 10 hingga 14 pesakit dalam satu syif, berbanding nisbah ideal 1:6 atau maksimum 1:8,” katanya dalam satu kenyataan selepas meninjau operasi Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini semalam.
Onn Hafiz akan merayu supaya pengisian jawatan kesihatan di negeri ini dapat disegerakan.
“Semoga petugas kesihatan di Johor terus dikurnia kekuatan, ketabahan dan perlindungan dalam menjalankan amanah. Terima kasih atas segala usaha dan kerja keras dalam menjadi tulang belakang sistem kesihatan negeri ini,” katanya.
Pada 8 Julai lalu, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bertitah supyaa isu kekurangan petugas kesihatan di tiga hospital awam utama di bandar raya ini, iaitu HSI, Hospital Sultanah Aminah (HSA) serta Hospital Pasir Gudang (HPG) yang akan mula beroperasi secara berfasa bermula 1 Ogos ini dapat diselesaikan dengan segera. – UTUSAN










