KUALA LUMPUR: Tindakan tidak berperikemanusiaan serta sikap Israel yang terus dibiarkan tanpa sebarang hukuman menimbulkan persoalan serius terhadap kredibiliti sistem serta komuniti antarabangsa.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Israel perlu bertanggungjawab atas kekejaman serta pelanggaran berterusan terhadap undang-undang antarabangsa bukan sahaja di Gaza malah terhadap negara-negara lain.
“ASEAN dan Switzerland perlu menyuarakan pendirian bersama untuk menyokong dialog dan keamanan.
“Ini amat penting dalam dunia masa kini di mana retorik berunsur peperangan semakin mendominasi ruang,” katanya ketika berucap pada pembukaan Mesyuarat Tiga Hala antara Malaysia, Switzerland dan Sekretariat ASEAN sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 dan mesyuarat berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Mesyuarat berkenaan turut dihadiri Ahli Majlis Persekutuan Switzerland, Ignazio Cassis serta Setiausaha Agung ASEAN, Dr. Kao Kim Hourn.
Dalam ucapannya, Mohamad turut menekankan keperluan ASEAN dan Switzerland untuk mempromosikan penghormatan terhadap undang-undang antarabangsa dan penyelesaian konflik secara adil khususnya berkaitan isu di Ukraine serta Gaza.
Menurut beliau, kedua-dua pihak perlu memainkan peranan penting dalam memupuk keamanan serta kemakmuran serantau.
“ASEAN, melalui mesyuarat tahunannya menghimpunkan banyak negara termasuk kuasa-kuasa besar bagi membincangkan isu-isu yang menjadi kepentingan bersama dan menggalakkan kerjasama demi manfaat bersama.
“Tumpuan Switzerland terhadap keamanan, hak asasi manusia, amalan perniagaan yang bertanggungjawab dan tindakan kemanusiaan berkaitan periuk api, mencerminkan keserasian tulen dengan nilai-nilai ASEAN,” katanya.
Mengulas kerjasama dalam aspek ekonomi, Mohamad berkata, ASEAN mengalu-alukan sokongan Switzerland terhadap perdagangan mampan dan inovasi.
Katanya, pernyataan bersama mengenai Kerjasama Ekonomi 2024 antara ASEAN dan Persatuan Perdagangan Bebas Eropah (EFTA) menyediakan platform kukuh bagi mempertingkatkan perdagangan, pemerkasaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta keusahawanan digital.
“Kepakaran Switzerland dalam inovasi dan teknologi boleh menyumbang secara signifikan kepada peralihan ASEAN ke arah ekonomi digital dan hijau.
“Dalam bidang sosio-budaya, kerjasama ASEAN-Switzerland dalam pengurusan bencana turut memperkukuh ketahanan serantau ASEAN,” katanya.
Tambah beliau, ASEAN juga menghargai sumbangan dalam penyesuaian perubahan iklim, biodiversiti, pengurusan sumber air serta latihan vokasional khususnya menerusi Inisiatif Latihan Teknikal dan Vokasional ASEAN-Switzerland (ASEAN-Swiss TVET Initiative). – UTUSAN