PETALING JAYA: Sudah berdamai dengan takdir, pelakon, Siti Hariesa mengejutkan ramai pihak selepas mendedahkan dirinya sudah kehilangan ibu sebelum nama dan kerjayanya memuncak naik.
Walaupun begitu, Hariesa menganggap kehilangan ibunya empat tahun lalu merupakan titik paling hitam dalam sejarah hidupnya.
“Tidak ramai yang tahu, ibu saya meninggal dunia empat tahun lalu kerana dia ‘bed ridden’ (terlantar di atas katil), perlu menjalani dialisis dan ada masalah jantung.
“Ketika itu Covid masih lagi aktif dan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Kehilangan ibu buat hidup saya gelap, rasa dunia tidak adil.
“Saya baik-baik saja dan sudah melepaskan tetapi situasi ketika itu (pemergian ibu) sangat tidak adil. Tidak pernah saya persoalkan tentang tidak adil,” katanya menerusi sesi audio siar Sembang Seram.
Menerusi video yang tular itu, Hariesa juga sempat meluahkan rasa kesal dan ralat kerana tidak dapat mencipta momen terakhir bersama insan tersayang berikutan penularan virus Covid-19 yang aktif pada ketika itu.
“Sewaktu ibu sudah nazak di hospital, kami sekeluarga tidak dibenarkan untuk melawat kerana Covid. Selepas balik ke rumah dan berehat, abang saya maklumkan bahawa doktor suruh datang ke hospital semula.
“Ketika itu, doktor beritahu ibu sudah tiada. Saya rasa bengang sangat. Andai kata mereka benarkan saya masuk untuk menjaga ibu ketika itu, mesti saya sempat selawat dan luahkan rasa sayang buat kali terakhir,” kongsinya.
Gagal menahan rasa sebak, pelakon drama bersiri Lambaian Huda itu turut menyifatkan pemergian ibunya ibarat kehilangan sebelah sayap kerana wanita itu adalah tulang belakang paling kuat buat dirinya yang masih hijau dalam industri hiburan.
“Bagi saya, tanpa ibu saya tidak akan berada di sini sekarang sebab saya tiada niat untuk ceburi dunia lakonan. Siapa lagi yang akan sokong saya kalau bukan ibu. Berkat restu ibu, saya teruskan kerana dia anggap itu rezeki.
“Ibu meninggal sebelum saya berlakon drama Perempuan Itu. Itu adalah drama besar pertama saya yang berlakon dengan nama-nama besar.
“Saya hanya sempat bagitahu ibu yang saya dapat tawaran berlakon dengan Zul Arifin sahaja kerana ibu minat. Sayangnya ibu sudah tiada untuk tonton drama itu,” luahnya.
Dalam perkongsian tersebut, Hariesa turut memaklumkan dirinya juga diuji dengan pemergian abangnya yang mengalami masalah autisme.
Katanya, abangnya itu meninggal dunia dalam tidur meskipun tidak mempunyai sebarang penyakit. -UTUSAN