PETALING JAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) mengenal pasti kegiatan penipuan dan memperdayakan orang ramai yang mengaitkan jabatan itu dengan menawarkan khidmat menghapus status senarai hitam.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pihaknya memandang serius kegiatan beberapa akaun media sosial terbabit.
Menurutnya, akaun media sosial itu secara terbuka mempromosikan perkhidmatan urusan perjalanan masuk dan keluar Malaysia, menghapus status ‘blacklist’ dalam sistem Imigresen dan urusan permohonan program Rekalibrasi Tenaga Kerja yang tidak wujud kepada warga asing termasuk pendatang asing tanpa izin (PATI).
“Siasatan awal mendapati akaun-akuan media sosial ini mengenakan bayaran tertentu terhadap setiap perkhidmatan yang ditawarkan.
“Aktiviti ini disahkan sebagai satu bentuk penipuan dan cubaan untuk memperdaya orang ramai dengan mengaitkan Imigtesen bagi mengaut keuntungan secara tidak sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan pihaknya tidak pernah melantik mana-mana individu sebagai ejen untuk menguruskan perkhidmatan berkaitan urusan Imigresen.
Jelasnya, sebarang urusan berkaitan perkhidmatan Imigresen hendaklah dilakukan di pejabat Imigresen.
“Imigresen menyeru semua pihak agar tidak mudah terpedaya dengan sebarang tawaran atau iklan yang disebarkan melalui media sosial yang menjanjikan urusan Imigresen secara ‘pintu belakang’,” ujarnya.
Tegas Zakaria, Imigresen tidak akan berkompromi dan akan meneruskan pemantauan dan siasatan terhadap akaun-akaun media sosial yang dikesan menjalankan aktiviti penipuan ini sebelum tindakan undang-undang diambil.
“Kerajaan Madani melalui Kementerian Dalam Negeri dan Imigresen akan terus mempergiat usaha penguatkuasaan dan pemantauan terhadap kegiatan tidak sah yang boleh menjejaskan keyakinan orang awam terhadap sistem imigresen negara,” katanya. – UTUSAN