Harga kelengkapan sekolah masih berpatutan - Utusan Malaysia

Harga kelengkapan sekolah masih berpatutan

IBU bapa memilih kelengkapan sekolah untuk anak-anak mereka di sebuah kedai pakaian di Bandar IOI, Bahau, Jempol, Negeri Sembilan menjelang pembukaan sesi persekolahan 2026. - UTUSAN/NOR SHAFIQAH MOHD. GHAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL: Ketika harga kelengkapan sekolah dikatakan meningkat, seorang pekedai pakaian di Bandar IOI, Bahau di sini pula masih mengekalkan jualan pada harga mampu milik sejak lima tahun lalu.

Pemilik kedai pakaian itu, Tea Kieu Chai, 55, berkata, walaupun berdepan peningkatan kos operasi, namun dia masih mampu untuk mengekalkan harga yang sama.

“Di luar bandar, kos operasi lebih rendah berbanding bandar, jadi harga pun lebih mampu milik. Kami juga mengekalkan harga sejak lima tahun lalu walaupun kos bahan mentah dan pengangkutan meningkat,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Katanya, walaupun berdepan persaingan dengan platform jualan dalam talian, kedai fizikal yang diusahakannya masih menjadi pilihan pelanggan.

Kedai fizikal, tambahnya, masih mempunyai kelebihan tersendiri terutama daripada segi perkhidmatan selepas jualan.

“Kalau pelanggan beli awal dan sebelum sekolah bermula baju tidak muat, mereka boleh terus datang ke kedai untuk tukar,” katanya.

Sementara itu, seorang bapa, Mohamad Nurhaziq Zakaria, 41, berkata, dia lebih selesa membeli kelengkapan sekolah buat anaknya di kedai fizikal berbanding membelinya secara dalam talian.

“Untuk pembelian dalam talian, memang tidak dinafikan lagi murah, tetapi apabila sampai selalunya saiz tidak sama, kena urus pemulangan dan ia agak leceh,” katanya.

Katanya, perbelanjaan kelengkapan sekolah bagi seorang anak mencecah sekitar RM300.

“Baju, kasut dan seluar, saya lebih suka beli di kedai sebab hendak tengok jenis bahan. Kadang-kadang harga pun lebih kurang sahaja,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN