KUBANG PASU: Sebanyak 13 lelaki termasuk remaja berusia 18 tahun ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kedah sempena operasi Tahun Baharu 2026 di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, di sini semalam.
Pengarah AADK Kedah, Khairul Anwar Ahmad berkata, lelaki berusia 18 hingga 39 tahun itu ditahan setelah ujian saringan masing-masing positif pelbagai jenis dadah seperti ketamin enam individu, MDMA (empat) dan ganja (tiga).
“Amat membimbangkan kerana kebanyakan yang ditahan mendakwa pertama kali mencuba mengambil dadah di tempat hiburan. Kami faham mereka berkunjung ke negara jiran ini semata-mata untuk berhibur. Ini serius kerana selalunya mereka mencuba-cuba kemudian membawa ke tahap lebih serius.
“Salah seorang daripada mereka merupakan remaja berusia 18 tahun yang baru selesai peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), baru-baru ini yang positif ketamin,” katanya ketika ditemui dalam operasi itu malam tadi.
Beliau berkata, apa yang membimbangkan remaja itu mendakwa mengambil dadah jenis ketamin yang diletakkan dalam minumannya ketika menyaksikan konsert sempena Tahun Baharu di Hat Yai, malam semalam.
“Dia mendakwa minumannya diletak ketamin tanpa disedarinya dan itu merupakan kali pertama dia ditahan kerana positif dadah. Kita selalu menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika berhibur di negara jiran kerana dadah jenis ketamin ini popular terutama di kelab malam di sana,” katanya.
Menurut beliau, kesemua individu tersebut ditahan di bawah Seksyen 3 (1) Akta Penagih dan Penyalahgunaan Dadah dan Bahan Terlarang (Rawatan dan Pemulihan) 1983 untuk tindakan selanjutnya.
“Sempena 2026, AADK Negeri Kedah melalui Unit Antidadah Sempadan Bukit Kayu Hitam akan lebih agresif meneruskan lagi operasi seperti ini kerana kita memandang betapa seriusnya isu penyalahgunaan dadah di sempadan,” katanya. – UTUSAN










