KEMAMAN : Sesi pembelajaran di Sekolah Kebangsaan Seberang Tayor, di sini, bertukar kecoh apabila dua ekor beruang berkeliaran berhampiran sekolah itu, pagi semalam.
Kelibat dua ekor beruang yang berkeliaran di tepi pagar dan kawasan kebun sekolah dikesan warga sekolah itu kira-kira pukul 8.30 pagi.
Tukang kebun sekolah, Azmi Yaakob, 52, berkata, pada awalnya beruang itu hanya berkeliaran di tepi pagar sekolah, berhampiran padang.
“Pagi semalam kebetulan murid-murid ada latihan sukan di padang sekolah, bila ada kelibat beruang, guru-guru meminta murid-murid bersurai seketika dan masuk ke kelas masing-masing untuk keselamatan mereka.
“Beruang itu agak lama berkeliaran di sekitar kawasan sekolah. Kira-kira pukul 11 pagi, kedua-dua beruang itu memanjat pagar sekolah dan masuk ke kawasan kebun di belakang sekolah untuk mencuri buah durian sebelum berlalu pergi ke kawasan belukar berhampiran,” katanya hari ini.
Azmi berkata, pihak sekolah telah melaporkan segera kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) sebaik sahaja beruang itu dikesan bermain di kawasan sekolah itu.
“Kita bimbang juga keselamatan anak-anak murid di sekolah ini. Alhamdulillah, Perhilitan sudah pasang perangkap berhampiran sekolah ini dan kita harap beruang ini dapat ditangkap segera,” katanya.
Katanya, menurut penduduk, beruang itu telah berkeliaran di kawasan kampung itu sejak hujung Mei lalu dan dipercayai masuk ke kawasan kampung untuk mencari makanan ketika musim buah-buahan.
“Di sekolah ini ada pokok cempedak, rambutan dan manggis. Mungkin buah-buahan itu tarikan kepada beruang tersebut,” katanya.
Sementara itu Pengarah Perhilitan Terengganu, Loo Kean Seong berkata, pihaknya telah memasang dua perangkap di kawasan kampung tersebut sejak hujung Mei lalu. – UTUSAN











