KUALA LUMPUR: Komposer, Ajai, 50, lega kerana persahabatannya dengan Datuk AC Mizal tidak terjejas susulan permohonan maaf yang dibuat berhubung isu penganjuran konsert 4U2C baru-baru ini.
Ajai atau nama sebenarnya Mohamad Faizal Maas bersyukur kerana hubungannya dengan AC serta seluruh anggota 4U2C kekal baik selepas tidak memanjang-manjangkan percanggahan yang tercetus mengenai penganjuran konsert berkenaan sebelum ini.
“Kami sudah lama kenal, malah seangkatan. Cuma Exist masuk industri muzik lebih awal daripada 4U2C.
“Kami kongsi banyak momen bersama, pernah beberapa kali disatukan dalam sesi fotografi dan membuat persembahan dalam konsert yang sama.
“Jadi, kawan tetap kawan, walaupun adakalanya berbeza pandangan,” katanya selepas konsert minggu keempat rancangan Raise The Star Malaysia, semalam.
Terdahulu AC meluahkan rasa kecewa terhadap kenyataan Ajai berhubung isu hak cipta lagu yang menjadi konflik antara 4U2C dengan komposer, Man Senoi serta isterinya, Mama Rap.
Susulan itu 4U2C menuntut permohonan maaf daripada beberapa individu termasuk Ajai atas kenyataan beliau mengenai isu terbabit.
Ajai dalam pada itu bersyukur kerana permohonan maafnya diterima 4U2C sekaligus berharap hubungan baik kedua pihak terus dipelihara.
“Bila diminta buat permohonan maaf, saya melakukannya tanpa berfikir lama.Dalam hati saya tak ada hasad dengki, perasaan negatif atau dendam. Kalau ada pihak lain terasa, sebaiknya saya selesaikan dengan permohonan maaf.
“Dan saya tidak pernah menganggap diri saya bagus kerana meminta maaf. Kawan saya terkesan dengan kenyataan saya, jadi seeloknya saya perbetulkan keadaan itu.
“Saya tak mahulah hubungan jadi keruh kerana berbeza pandangan. Jadi saya bersyukur permohonan maaf saya diterima,” jelasnya. – UTUSAN