Kastam Pulau Pinang rampas bunga ganja bernilai lebih RM5 juta

Kastam Pulau Pinang rampas bunga ganja bernilai lebih RM5 juta

ROHAIZAD Ali (tiga dari kanan) ketika sidang akhbar mengenai rampasan bunga ganja di Perai, Pulau Pinang, hari ini.-UTUSAN/SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH : Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang berjaya merampas 49 ketulan bunga ganja bernilai lebih RM5 juta di susur keluar Plaza Tol Sungai Petani arah selatan di Kedah, pada 29 Jun lalu.

Pengarah Kastam negeri, Rohaizad Ali berkata, rampasan itu dibuat hasil pemeriksaan yang dilakukan ke atas sebuah kereta Perodua Axia yang dinaiki dua lelaki tempatan berusia 30-an susulan risikan yang dijalankan sebelum ini.

“Hasil pemeriksaan terhadap kereta yang dipercayai disewa itu, kita menjumpai satu guni bunga ganja yang disembunyikan di bahagian bawah tempat duduk belakang kenderaan berkenaan manakala dua lagi guni ditemukan di bahagian bonet kereta.

“Ketiga-tiga guni berisi 49 ketulan mampat dadah jenis bunga ganja yang dianggarkan seberat 52.047 kilogram (kg) bernilai RM5,100,606,” katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar di Perai di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Rohaizad berkata, kedua-dua suspek yang juga penganggur itu disyaki dalam perjalanan untuk menghantar bekalan dadah terbabit ke selatan tanah air.

Katanya, siasatan lanjut bagaimanapun sedang dijalankan mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN