Terima upah RM10,000, pakej pelancongan bawa bunga ganja ke UK

Terima upah RM10,000, pakej pelancongan bawa bunga ganja ke UK

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Gara-gara bayaran RM10,000, dua warga Singapura ditahan selepas diperdaya sindiket dadah membawa bunga ganja ke United Kingdom.

Menerusi serbuan Op Diogma yang dilakukan pada 2 Februari di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, Sepang berjaya menahan tiga suspek iaitu seorang lelaki tempatan dan dua lagi warga Singapura termasuk seorang wanita.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pemeriksaan merampas 60 bungkusan plastik disyaki dadah bunga ganja seberat kira-kira 33 kilogram (kg).

“Siasatan awal mendapati dua suspek warga asing itu dipercayai dijadikan keldai dadah bagi penyeludupan keluar negara.

“Susulan itu, serbuan kedua dijalankan di sebuah rumah di Bandar Damai Perdana, Cheras dan merampas 254 bungkusan plastik disyaki berisi bunga ganja seberat 133 kg,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini. 

Beliau berkata, serbuan ketiga di sebuah hotel di Taman Equine, Selangor berjaya menahan dua lagi lelaki tempatan dengan rampasan 4 bungkusan plastik disyaki berisi bunga ganja seberat 22 kg dalam sebuah Toyota Cross. 

Tambahnya, bertindak atas maklumat, seorang wanita tempatan ditahan di hadapan sebuah premis di Bayan Lepas, Pulau Pinang pada 3 Februari lalu

“Suspek wanita ini dipercayai merupakan teman wanita kepada suspek keempat yang turut terlibat dalam rangkaian sindiket pengedaran terbabit,” jelasnya.

Kata beliau, keseluruhan bunga ganja yang dirampas dianggarkan seberat 188 kg dengan nilai RM15 juta.

Ujarnya, suspek pertama berperanan sebagai ketua sindiket manakala suspek kedua dan ketiga iaitu warga Singapura berperanan sebagai keldai dadah.

“Manakala suspek keempat dan kelima berperanan sebagai transporter. Sindiket dipercayai aktif sejak Januari lalu dengan modus operandi mereka ialah menyeludup bunga ganja melalui laluan haram di Padang Besar, Perlis sebelum dibawa ke Lembah Klang bagi tujuan pasaran tempatan dan antarabangsa,” ujarnya.

Tegasnya, kesemua suspek direman tujuh hari sehingga 9 Februari untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Tindakan juga diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan nilai sitaan bernilai RM110,000 membabitkan sebuah Perodua Alza, Mazda 6, seutas gelang tangan emas dan pelbagai wang tunai,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN