SEREMBAN: Hasil bedah siasat ke atas mayat seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang ditemukan di Rompin, Jempol semalam mendapati punca kematiannya adalah disebabkan tekanan di leher akibar dijerut.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, bedah siasat ke atas mayat kanak-kanak mengambil masa kira-kira empat jam bermula pukul 12 tengah hari tadi.
“Hasil bedah siasat ke atas si mati (kanak-kanak) mengesahkan punca kematian adalah disebabkan oleh tekanan di leher iaitu akibat jerutan cable tie (pengikat kabel).
“Tekanan di leher boleh menyebabkan kematian. Setakat ini, kes ini disiasat di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Pakar patologis menganggarkan mangsa meninggal dunia pada 23 Julai di antara pukul 9 pagi hingga 11 pagi. Siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, mayat kanak-kanak malang berkenaan di bawa ke Johor dari Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau kira-kira pukul 4.26 petang tadi.
Ahli keluarga yang hadir terutamanya ibu kanak-kanak itu kelihatan bersedih serta sentiasa ditemani ahli keluarga yang lain.
Sebelum ini media melaporkan mayat seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun ditemukan di Rompin, Jempol, semalam.
Ahmad Dzaffir berkata, kira-kira pukul 4.30 petang, pihak polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol telah menerima maklumat penemuan mayat kanak-kanak di kawasan Rompin.
Hasil siasatan mendapati kejadian awal berlaku di Johor Bahru, Johor di mana seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun telah dilaporkan hilang di Taman Bukit Indah, pada 24 Julai lalu.
Katanya, kes berkenaan telah disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan orang hilang. Tangkapan telah dibuat oleh pihak polis Kontinjen Johor ke atas suspek iaitu seorang lelaki berusia 36 tahun.
Katanya, tindakan susulan telah membawa kepada penemuan mayat mangsa ditanam di kawasan Rompin, Jempol.
Ketua Polis Daerah Jempol Superintenden Norhisham Mustapar pula berkata, siasatan awal di lokasi mendapati suspek menggunakan cangkul bagi menggali lubang sebelum menanam mayat kanak-kanak tersebut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Johor Asisten Komisioner M. Kumarasan berkata, suspek berusia 36 tahun telah diberkas pada pukul 12.20 tengah malam, 24 Julai lalu selepas lelaki itu membuat laporan tentang kehilangan anaknya iru.
Menurut Kumarasan, berdasarkan laporan dibuat, suspek memberitahu anak tunggalnya itu kononnya hilang semasa ditinggalkan seorang diri di dalam kereta pada 23 Julai di kawasan Bukit Indah, Johor Bahru.-UTUSAN









