Kanak-kanak enam tahun dibunuh, mayat ditemukan di Jempol

Kanak-kanak enam tahun dibunuh, mayat ditemukan di Jempol

POLIS mengangkat mayat kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang ditemukan di Rompin, Jempol, hari ini.-UTUSAN/ NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Mayat seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun ditemukan di Rompin, Jempol petang tadi dipercayai dibunuh.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, kira-kira pukul 4.30 petang, pihak polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol telah menerima maklumat penemuan mayat kanak-kanak di kawasan Rompin.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati kejadian awal berlaku di Johor Bahru di mana seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun telah dilaporkan hilang di Taman Bukit Indah, pada 24 Julai lalu.

“Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan orang hilang.

Tangkapan telah dibuat oleh pihak polis Kontinjen Johor ke atas suspek iaitu seorang lelaki berusia 36 tahun.

“Tindakan susulan hari ini kira-kira pukul 4 petang telah membawa kepada penemuan mayat mangsa ditanam di kawasan Rompin, Jempol disyaki dibunuh,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Ujar Ahmad Dzaffir lagi, kes kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan membunuh yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun dan sebatan.

Menurutnya, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Rembau bagi proses bedah siasat.

Sementara itu, tinjauan pemberita di lokasi penemuan mayat mendapati pasukan forensik dan polis dari dua kontinjen berada di lokasi berkenaan bagi menjalankan siasatan lanjut.

Lokasi tersebut terletak kira-kira tiga kilometer dari pekan Rompin, Jempol dan berhampiran jalan utama Gemas-Kemayan.

Sementara itu, orang awam yang ditemui di lokasi yang hanya ingin dikenali sebagai Ali, 50-an berkata, dia terkejut apabila mendapati terdapat ramai polis di kawasan berkenaan dan menyangka pada mulanya ia merupakan kejadian kemalangan.

“Bila sampai tidak boleh nak dekat ke lokasi sebab ada tali warna kuning, jadi ini mungkin kes lain” katanya.

Dua hari lalu, polis memohon orang ramai membantu mengesan seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang dilaporkan hilang ketika berada di sebuah kedai makan di Taman Bukit Indah, Johor Bahru, Johor.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan berkata, kehilangan M. Tishant dilaporkan oleh bapanya kira-kira pukul 2.15 pagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN