KUALA LUMPUR: Penerbit filem Memori, Creative Stew, tidak mengetahui sebarang pertikaian membabitkan penganjuran Festival Filem Asia Pasifik (APFF) ke-61 dan hanya mendapat undangan rasmi menerusi pihak pengedar, Golden Screen Cinema (GSC).
Menurut Ketua Pegawai Operasi Creative Stew, Zakiah Malek, pihaknya menerima e-mel rasmi undangan ke APFF pada Februari tahun ini selepas dimaklumkan filem Memori terpilih untuk bertanding di acara tersebut.
“Kami mendapat jemputan secara rasmi daripada pihak Golden Screen Cinema (GSC) dan Festival Filem Asia Pasifik ke-61 sendiri pada Februari tahun ini. Kami dimaklumkan filem Memori terpilih untuk dipertandingkan bersama filem daripada negara lain seperti Myanmar, Thailand dan lain-lain.
“Jadi kami tidak akan terlibat dalam festival ini jika tiada jemputan. Kami ke sana pada 21 Februari lalu dan acara diadakan di City of Dreams, Macau, China. Ia sebuah majlis yang besar dilakukan secara tertib, lengkap karpet merah, dihadiri oleh pelakon nama besar di China dan mempunyai juri daripada pelbagai negara.
“Kami tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenai pertikaian melibatkan penganjur festival juga sama ada festival yang sama pernah berlangsung di Malaysia. Segala perselisihan, kami tidak terlibat.
“Masyarakat boleh semak senarai pemenang daripada banyak negara di laman web IMDb,” katanya.
Zakiah ditemui Utusan Malaysia di pejabat Creative Stew, di sini, pada Khamis.
Bagaimanapun, menurut Zakiah, walaupun status APFF menjadi pertikaian, namun kehebatan Datuk Hilal Azman dalam filem tersebut tidak boleh dipersoal.
“Apa yang penting, kami percaya Datuk Hilal Azman layak mendapatkan penghargaan Pelakon Lelaki Terbaik itu. Persembahannya dan filem Memori menjadi bukti dedikasi serta kualiti yang diberikan.
“Sejak tayangan perdana, saya tidak jumpa lagi negatif komen mengenainya. Sekali lagi saya tegaskan, jika tidak jemputan, memang kita tidak akan pergi.
“Bukankah jika anak tempatan kita diiktiraf luar negara, kita patut berbangga? Apapun, kami di Creative Stew percaya filem Memori yang juga menjadi filem pertama dihasilkan sepenuh hati menekankan mengenai kasih sayang seorang ayah dan anak,” tambahnya.
Terdahulu, timbul pertikaian apabila terdapat dua festival filem menggunakan nama sama dengan senarai pemenang berbeza.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung Federation Motion Producer in Asia Pacific (FPA), Panchacharam Nalliah menjelaskan Festival Filem Asia Pasifik ke-61 yang sah hanya diadakan di Genting Highlands pada 29 November hingga 1 Disember 2024.
Menurut Pengerusi Penganjuran Festival Filem Asia Pasifik (APFF) ke-61, Aron Koh, pihaknya kecewa dengan kekeliruan yang timbul dan menyifatkan festival filem yang menggunakan nama sama di China sebagai palsu dan tidak diiktiraf.
Terdahulu, Datuk Hilal Azman berkongsi kepada media kemenangannya sebagai Pelakon Lelaki Terbaik, Festival Filem Asia Pasifik ke-61 menerusi lakonannya dalam filem Memori. -U