Kajian Separuh Penggal Kertas Putih Pertahanan dibentang dalam masa terdekat

Kajian Separuh Penggal Kertas Putih Pertahanan dibentang dalam masa terdekat

DATUK SERI MOHAMED KHALED NORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kajian Separuh Penggal Kertas Putih Pertahanan (KSP KPP) akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Keselamatan Parlimen dalam masa terdekat.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kajian itu merangkumi pelbagai usaha ke arah pembangunan keupayaan pertahanan kendiri negara termasuk aspek teknologi, sistem persenjataan, prasarana penyelenggaraan serta pemantapan modal insan tempatan.

Katanya, langkah itu bertujuan mengurangkan kebergantungan kepada kuasa luar serta meningkatkan kecekapan dan kesiapsiagaan dalam menghadapi sebarang bentuk ancaman.

“Kementerian Pertahanan sememangnya berpegang bahawa keupayaan pertahanan kendiri adalah teras kepada kedaulatan, keselamatan dan kebebasan negara, terutamanya dalam landskap geopolitik yang semakin mencabar,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Kamal Ashaari (PN–Kuala Krau) yang meminta penjelasan mengenai usaha kerajaan membina keupayaan ketenteraan sendiri termasuk dalam pembangunan teknologi senjata tempatan seperti dilakukan Iran.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, KSP KPP telah dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada 25 Jun lalu.

Menurut beliau, Kementerian Pertahanan sedang melaksanakan beberapa pendekatan strategik ke arah pembinaan keupayaan pertahanan kendiri termasuk pemerkasaan Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE) sebagai pusat kecemerlangan pertahanan di rantau Asia Tenggara dan pendekatan ekosistem bersepadu bagi membina keupayaan sains, teknologi dan inovasi pertahanan.

“Selain itu, penstrukturan semula Malaysian Industry Council for Defence Enforcement & Security (MIDES) kepada Majlis Strategik Industri Pertahanan bagi penambahbaikan tadbir urus industri; pembangunan dasar Program Kolaborasi Industri (ICP) sektor pertahanan lebih komprehensif; dan penubuhan Syarikat Bertujuan Khas (SPV) di bawah Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) untuk memperkukuh rantaian industri dan pengurusan projek kolaborasi industri dalam ekosistem pertahanan negara,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, kementeriannya kini di peringkat akhir memuktamadkan Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) yang akan menjadi rangka kerja strategik untuk memperkukuh kemandirian, inovasi dan kemajuan teknologi industri pertahanan Malaysia.

“DIPN juga dijadual dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada Ogos 2025,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN