Kabinet belum terima memorandum berhubung pelantikan Nick Adams

Kabinet belum terima memorandum berhubung pelantikan Nick Adams

FAHMI Fadzil (lima dari kiri) bergambar dengan penerima selepas menyampaikan watikah pelantikan pada Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Sebagai Anggota Lembaga Pengasas MMM di Kementerian Komunikasi, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jemaah Menteri belum menerima sebarang memorandum dari Wisma Putra berhubung pelantikan pengulas konservatif yang juga penulis, Nick Adams sebagai Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia yang baharu.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, setakat ini perkara tersebut masih belum dibawa ke perhatian Jemaah Menteri.

“Kebiasaannya dalam mesyuarat Jemaah Menteri kita akan menerima memorandum dari Wisma Putra mengenai mana-mana pelantikan duta atau pun perwakilan asing yang baharu.

“Waktu ini perkara tersebut belum lagi dibawa ke perhatian Jemaah Menteri, mungkin selepas (ini) kita ada maklum balas terkini. Tapi ketika ini belum lagi sampai ke Jemaah Menteri,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan sebagai Anggota Lembaga Pengasas Majlis Media Malaysia di sini hari ini sewaktu mengulas mengenai bantahan-bantahan disuarakan di media sosial terhadap pelantikan Nick Adams.

Pada 11 Julai lalu, media melaporkan Presiden AS, Donald Trump mengumumkan pengulas konservatif yang juga penulis, Nick Adams, akan dicalonkan sebagai Duta Besar AS ke Malaysia yang baharu.

Dalam satu hantaran di platform Truth Social, Trump menyifatkan Adams sebagai seorang nasionalis luar biasa serta usahawan yang sangat berjaya, sambil memuji komitmennya terhadap apa yang digelarnya sebagai ‘Nilai Keunggulan Amerika’.

Adams, seorang tokoh konservatif kelahiran Australia, penyokong lantang Trump dan dikenali menerusi usaha advokasinya yang pro-Amerika termasuk penerbitan beberapa buku serta kemunculan dalam media yang memperjuangkan nilai-nilai sayap kanan.

Sementara itu, mengenai sama ada Malaysia akan menolak atau membuat bantahan terhadap pelantikan itu, Fahmi menjelaskan bahawa dalam bidang diplomasi terdapat terma yang dipanggil sebagai agrément.

“Di mana the host country must accept. Itu dalam bidang diplomasi. Samalah juga sebelum ini kalau kita teliti sejarah dalam kerajaan menamakan atau pun mencadangkan perwakilan Malaysia ke negara asing perlu mendapat persetujuan daripada negara tuan rumah,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN